Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

233) USAHA DALAM MERANGSANGKAN EKONOMI DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila jelaskan program-program atau projek-projek yang telah dilaksanakan dalam program merangsang ekonomi bersama dengan kos-kos yang terlibat

    Untuk 2009, sebanyak RM353,540 telah diagihkan dan lebih kurang RM600,000 akan diagihkan. Jumlah yang telah diagihkan sebanyak RM353,540 yang telah diagihkan melibatkan proses “mapping” di kawasan sekeliling Sungai Klang menggunakan GIS (Geographical Information System) untuk inventori guna tanah di kawasan tersebut.

     

    Jumlah yang akan diagihkan sebanyak RM600,000 pula melibatkan peruntukan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk proses mapping terperinci Sungai Klang dan juga program-program kempen bersama-sama NGO untuk memberi kefahaman kepada orang awam tentang pentingnya penjagaan sungai.

  2. Apakah kesannya setelah program perangsangan ekonomi dilancarkan?

    Selain dari projek penstrukturan semula aset-aset air, projek yang adalah masih di dalam peringkat awal di mana kajian sedang dibuat sebelum pelan induk (masterplan) dilancarkan. Kesan program ini belum lagi diperoleh kerana projek rangsangan ekonomi ini adalah untuk tujuan masa depan. Pada masa hadapan, kesan ini akan bertambah lagi, iaitu:

    • Projek Sungai Klang

    Projek pembersihan dan pemuliharaan Sungai Klang dijangka mengambil masa 20 tahun dan dijangka akan membawa masuk pelaburan sebanyak RM30 bilion, menambahkan lebih 50,000 peluang pekerjaan dan juga menambahkan nilai tanah di kawasan Sungai Klang. In merupakan sumber pendapatan baru kepada Kerajaan Negeri

    • Pembangunan Semula Bandar (Urban Renewal)

    Pembangunan semula bandar dijangka mengambil masa 10 tahun dengan fokus diberikan pada bandar-bandar seperti Klang dan sesetengah kawasan di Petaling Jaya (Seksyen 1, 2, 3, 4, 51, 51A, 52) yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan semula. Projek ini dijangka akan menambah baik kehidupan warga-warga bandar dan meningkatkan nilai tanah di kawasan-kawasan tersebut.

    • Meningkatkan Hasil Padi (Padi Yield Enhancement)

    Projek ini telah dilancarkan dan dilaksanakan sejak awal tahun 2009. Setakat ini, hasilhasil padi telah berjaya ditingkatkan sehingga 50% di kawasan-kawasan terlibat seperti Sawah Sempadan dan Pasir Panjang. Pendapatan petani-petani telah berjaya ditingkatkan daripada purata RM600 sebulan sehingga mencapai RM1,500 sebulan. Projek ini masih di peringkat awal dan dijangkakan keputusan-keputusan yang lebih memberangsangkan akan diperoleh

    • Rumah-rumah Terbengkalai (Abandoned Housing)

    Projek ini masih di peringkat awal. Kerajaan Negeri dan penglibatan Lembaga Perumahan dijangka akan mengeluarkan pelan induk (masterplan) tidak lama lagi. Projek ini diharapkan akan dapat menyelesaikan isu-isu projek terbengkalai dengan kerjasama rapat kerajaan negeri, pemaju dan pembeli. Setakat ini, 5 perunding profesional telah dipanggil dan diarahkan supaya setiap daripada mereka mengemukakan cadangan mengenai 2 atau 3 projek daripada keseluruhan 144 projek terbengkalai yang mempunyai nilai untuk dihidupkan semula.

    • Penstrukturan Semula Aset-aset Air (Water Assets Restructuring)

    Penstrukturan semula aset-aset air adalah penting untuk mengembalikan pemilikan asetaset air kepada kerajaan negeri. Tujuannya adalah untuk memastikan pengguna mendapat khidmat yang paling cekap dan memastikan harga yang dibayar untuk air yang merupakan keperluan asas manusia adalah berpatutan. Kerajaan negeri komited untuk memastikan air percuma pada 20m3 pertama akan terus dilaksanakan untuk kepentingan rakyat

    • Pengangkutan Awam

    Projek ini masih di peringkat awal. Kerajaan negeri dengan kerjasama agensi-agensi yang terlibat sedang membuat kajian tentang cara-cara untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan bagaimana pengangkutan awam dapat digunakan sebaiknya terutamanya di kawasan-kawasan seperti Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang, Kajang, dan lain-lain.

     

  3. Berapa kontraktor dan penduduk-penduduk bermanfaat dalam program tersebut?

    Kontraktor yang dijangka terlibat masih tidak boleh dipastikan sehinggalah pelan induk (masterplan) telah disediakan. Seluruh rakyat Selangor akan bermanfaat dalam programprogram di atas sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Lampiran

Tiada Lampiran.