Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
96) URUS TADBIR BAIK NEGERI
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Dato Menteri Besar untuk memastikan urus tadbir baik kerajaan negeri?
Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor telah pun berikrar untuk membudayakan nilai integriti, kebertanggungjawaban dan tata kelola yang baik dalam pentadbiran. Semua anggota perkhidmatan awam dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri perlu mempunyai jati diri merangkumi sikap amanah, keterbukaan dan ketelusan.
Selain itu, Dewan Negeri Selangor telah meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat sebagai usaha untuk membolehkan rakyat mendapatkan akses maklumat secara munasabah dari setiap jabatan Kerajaan Negeri Selangor bagi menunjukkan ketelusan dan pentadbiran amanah.
Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum ini turut telah mengarahkan supaya Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara atau PAC bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negeri Selangor (special select committee) untuk memantau teguran Ketua Audit Negara ke atas semua Jabatan dan Agensi Negeri untuk memastikan setiap satu mengamalkan tata kelola yang berhemah dan berintegriti dalam mengendalikan urusan kewangan dan proses tender.
-
Bagaimanakah untuk memastikan elemen integriti dan akauntabiliti dalam pentadbiran negeri sekarang?
Integriti dan akauntabiliti merupakan asas kepada sebuah tadbir urus yang baik. Justeru, Kerajaan dalam usaha memantapkan integriti telah bersetuju mewujudkan Unit Integriti di semua agensi awam selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 yang berkuat kuasa 1 Ogos 2013 di mana ia merupakan suatu pendekatan blue ocean strategy yang menggabungkan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Pegawai Agensi dalam menguruskan integriti secara lebih fokus, terancang, menepati keperluan dan kesesuaian Agensi. Penubuhan Unit Integriti juga merupakan suatu inisiatif bagi terus memantapkan integriti dalam memastikan penjawat awam menjunjung dan menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti seterusnya membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi ke arah mencapai sistem penyampaian awam yang lebih cemerlang.
Menyahut seruan Kerajaan tersebut, Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah ditubuhkan secara rasmi pada 2 Jun 2014. Unit Integriti ini ditubuhkan dengan harapan dapat menyepadukan semua pengurusan hal-hal berkaitan integriti supaya inisiatif-inisiatif penginstitusian integriti, pencegahan, pematuhan, pengesanan salah laku dan tindakan punitif dapat dilaksanakan dengan lebih fokus, terancang, efisien dan mencapai keberhasilan yang optimum. Sehubungan itu, terdapat dua (2) seksyen di bawah Unit Integriti seperti berikut:
- Seksyen Pengukuhan Integriti, Tadbir Urus dan Pematuhan; dan ii.Seksyen Pengesanan dan Pengesahan, Tatatertib dan Pengurusan
Aduan
Untuk makluman, Seksyen Pengukuhan Integriti, Tadbir Urus dan Pematuhan bertanggungjawab dalam memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan integriti dalam organisasi. Di samping itu, seksyen ini juga berperanan untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa serta tadbir urus yang terbaik dilaksanakan oleh Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Seksyen Pengesanan dan Pengesahan, Tatatertib dan Pengurusan Aduan pula menjalankan fungsi mengesan dan mengesahkan aduan salah laku jenayah serta pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi dengan memastikan tindakan susulan sewajarnya diambil.
Oleh yang demikian, penubuhan Unit Integriti ini dapat memastikan elemen integriti dan akauntabiliti Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berada pada landasan yang betul.