Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
79) UNIT PROJEK KHAS
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah asal usul penubuhan unit projek khas ini?
Sejak beberapa tahun yang lepas, Kerajaan Negeri telah menanggung perbelanjaan dalam lingkungan RM5 juta hingga RM8 juta setahun bagi menampung perbelanjaan kerja penyelenggaraan dan pembaikan bangunan Stadium Utama Shah Alam dan Stadium Malawati.
Memandangkan keadaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bertambah uzur dan kos penyelenggaraan dan pembaikan semakin meningkat, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk melaksanakan pembangunan holistik bagi keseluruhan KSSA di Seksyen 13 bersasarkan konsep ‘Sport Youth City’ dengan unsur ‘Smart City’ . Ini termasuk pembangunan semula keseluruhan fasiliti sukan seperti Stadium Utama, Stadium Malawati, Stadium Mini, Kompleks Futsal, Kompleks Boling Padang serta Tapak Sukan Ekstrem. Pembangunan Semula KSSA akan dilaksanakan secara Penswastaan. Bagi melaksanakan Pembangunan Semula KSSA, Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada bulan Jun 2021 telah bersetuju untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memantau pelaksanaan Pembangunan Semula KSSA.
Memandangkan pembangunan yang berskala besar, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan khas Pengurus Projek iaitu Unit Projek Khas (UPK) di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) untuk membantu Kerajaan Negeri agar pembangunan KSSA dilaksanakan dengan teratur dan komprehensif untuk memberi nilai, pulangan serta manafaat yang tinggi kepada Kerajaan Negeri serta rakyat Selangor amnya.
Nota Tambahan:
UPK ditubuhkan pada Julai 2021 dan ditempatkan di MBI Selangor. Unit Projek Khas ini di ketuai oleh Datuk Ir. Ruslan Abdul Aziz (mantan Pengarah JKR Selangor). Beliau dibantu oleh tiga pegawai profesional dan disokong oleh kakitangan dari MBI Selangor. Sejak penubuhan UPK, perbincangan telah diadakan bersama kesemua jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi yang berkepentingan bagi mendapatkan kehendak pihak-pihak yang berkepentingan untuk dimasukkan ke dalam dokumen tawaran RFP (Request for Proposal). Sejak 2013, terdapat sebanyak lima belas (15) Cadangan Pembangunan KSSA telah diterima oleh Kerajaan Negeri. UPK telah meneliti kesemua 15 cadangan tersebut. UPK telah membuat penilaian dan menyenarai pendekkan cadangan memandangkan terdapat kekurangan maklumat dan pertindihan dari syarikat yang mengemukakan cadangan. Tawaran RFP telah dikeluarkan pada 13 Disember 2021 dan menerima dokumen lengkap pemaju-pemaju pada 27 Januari 2021. Sehingga kini (2 Mac 2022), penilaian adalah pada peringkat akhir dan dijangka Surat Niat kepada Pemaju akan dikeluarkan pada bulan Mac 2022
-
Senaraikan semua projek yang terletak di bawah pemantauan UPK.
Pasukan Unit Projek Khas (UPK) ditubuhkan sebagai Pengurus Projek untuk pelaksanaan Pembangunan Semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA). Selain daripada berperanan Pengurus Projek bagi pembangunan Semula KSSA, UPK juga bertanggungjawab untuk merangka dan mengesyorkan cadangan penubuhan Perbadanan Stadium KSSA kepada Kerajaan Negeri
-
Apakah punca kepada kemerosotan kewangan Kelab Shah Alam dan apakah usaha untuk memulihkan prestij kelab ini?
Kemerosotan kewangan Kelab Shah Alam adalah disebabkan terdapat ahli-ahli yang menggunakan fasiliti Kelab tidak membuat pembayaran di samping kemerosotan hasil akibat PKP. Walau bagaimanapun, pengurusan terkini sedang dalam usaha mengutip kembali semua tunggakan hutang dan menghentikan buat sementara waktu pembayaran secara kredit serta usaha untuk menambah baik sistem penempahan fasiliti.