Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

247) UNISEL

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Dato' Dr. Halim Bin Tamuri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah peruntukan Kerajaan Negeri yang diberikan kepada UNISEL mulai 2020 sehingga 2024?

    Jumlah peruntukan Kerajaan Negeri yang diberikan kepada UNISEL mulai 2020 sehingga 2024 adalah seperti butiran berikut:

    Tahun 2020
    Sejumlah RM34,990,000 termasuk bagi tujuan penyelesaian BAIDS dan hutang Jana Niaga sebanyak RM32,440,000.
    Tahun 2021
    Sejumlah RM39,272,462.47 termasuk bagi tujuan penyelesaian BAIDS dan hutang Jana Niaga sebanyak RM32,930,361.08.
    Tahun 2022
    Jumlah RM8,323,184.29
    Tahun 2023
    Jumlah RM3,540,786.59
    Tahun 2024
    Tiada

  2. Apakah status ranking penarafan UNISEL di peringkat kebangsaan, Asia dan antarabangsa berdasarkan kepada World QS Ranking dan Time Higher Education Ranking pada tahun 2024?

    Ranking atau penarafan peringkat kebangsaan yang digunakan ialah SETARA yang mengukur jaminan kualiti dan standard IPTA dan IPTS. Penarafan terkini adalah bagi tahun 2022 yang mengguna pakai data 2021 dan memberi dua kategori penarafan iaitu Berdaya Saing (Competitive) dan Berdaya Maju (Viable). Unisel telah berjaya mencapai kedudukan BERDAYA SAING.

    Dengan kejayaan Unisel mencapai kedudukan Berdaya Saing membolehkan Unisel mengambil pelajar antarabangsa, mengadakan kolaborasi dan pelbagai kerjasama akademik yang lain yang mampu membawa universiti ini ke arah kecemerlangan.
    Kejayaan Unisel mencapai kedudukan Berdaya Saing adalah hasil usaha proaktif meningkatkan penglibatan staf akademik dalam penyelidikan dan penerbitan. Sebagai contoh, bagi tahun 2023 Unisel berjaya mendapat geran sebanyak 10 geran daripada Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS).
    Unisel juga berusaha mendapatkan geran daripada Kerajaan Negeri bagi membolehkan universiti ini terus berdaya saing.
    Penyertaan dalam QS Ranking dan Times Higher Education Ranking. melibatkan peruntukan kewangan yang besar kerana penilaian utama adalah aspek penerbitan yang memerlukan kos yang tinggi.
    Ketika Unisel ditubuhkan, tumpuan lebih diberikan kepada bidang pengajaran. Proses untuk penyelidikan dan penerbitan memerlukan penglibatan staf yang lebih berpengalaman khususnya dalam bidang penyelidikan dan penerbitan.
    Walaupun Unisel tidak memasuki World QS Ranking dan Time Higher Education Ranking, tetapi Unisel telah memasuki penarafan antarabangsa UI GreenMetric World University Ranking. Bermula di kedudukan 486, Unisel kini berada pada kedudukan 299 pada tahun 2023 dan menyasarkan akan berada di kedudukan 100 terbaik dalam tempoh lima tahun dari sekarang.

Lampiran

Tiada Lampiran.