Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

55) UNISEL

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah halatuju UNISEL di dalan tempoh 5 tahun akan datang dalam konteks mengoptimumkan pengunaan ketiga-tiga kampus Petaling jaya, Bestari Jaya dan Shah Alam?

    Selaras dengan perancangan strategik mengagendakan Unisel Dalam Pembangunan dan Pendidikan Negeri Selangor 2021-2025, Unisel telahpun mempunyai perancangan khusus bagi ketiga-tiga kampus berkenaan.

     

    • Kampus Petaling Jaya yang menempatkan Selangor Business School (SBS), sedang dalam proses menambah program pasca siswazah seperti DBA dan melaksanakan program eksekutif jangka pendek. Selain itu, kerjasama khusus turut dijalankan bagi melaksanakan program-program kerjasama dengan Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC) termasuk berkaitan e-dagang dan program berpaksi digital.

     

    • Usaha juga telah dimulakan bagi mengoptimumkan Kampus Bestari Jaya yang berkeluasan 1,000 ekar dan boleh menempatkan sehingga 8,000 pelajar. Kapasiti pelajar sedia ada adalah sekitar 4,500 orang. Dua jabatan iaitu Jabatan Komunikasi, Seni Visual serta program Asas Pengurusan telah dipindahkan sejak tahun 2016. Usaha sedang dilaksanakan bagi memindahkan kembali Fakulti Perniagaan dan Perakaunan ke Kampus Bestari Jaya. Usaha ini tentunya akan memaksimakan kapasiti kampus berkenaan. Selain itu, fokus khusus turut ditumpukan berkaitan mengukuhkan UNISEL dalam ranking UI Green Matric dunia termasuk menerusi memaksimakan penyelidikan biodiversity di kampus berkenaan. Usaha ini mampu meletakkan Unisel di dalam kedudukan 100 terbaik dunia dalam ranking UI Green Matric tempoh lima tahun berbanding kedudukan 2022 iaitu 337 dunia.

     

    • Fokus utama dalam mengoptimumkan kampus Shah Alam adalah mengukuhkan Fakulti Sains Kesihatan, terutama dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan. Ini termasuk memperkenalkan skim-skim biasiswa hospital swasta bagi menambah bilangan pelajar fakulti berkenaan. Tumpuan khusus juga telah dirancang bagi lima tahun akan datang dalam menjadikan kampus ini sebagai pusta ekonomi penjagaan terutama penekanan kepada khidmat rehabiloitasi, fisioterapi, jagaan warga emas, pemulihan anak OKU dan individu berkeperluan khas. Kampus Shah Alam juga akan terus diperkasa bagi mengukuhkan Pusat Pengajian Siswazah dengan mengambilkira jumlah pelajar sarjana dan Phd dari Timur Tengah dan China yang semakin meningkat.
  2. Mengapakah Kesatuan Kakitangan Akademik UNISEL yang telah sah didaftarkan dibawah Kementerian Sumber Manusia tetapi tidak mahu di iktiraf oleh pihak pengurusan UNISEL?

    Pihak Universiti memahami kebebasan pekerja untuk menubuhkan Kesatuan seperti yang termaktub dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, namun pihak Pengurusan UNISEL memutuskan untuk menolak tuntutan pengiktirafan penubuhan Kesatuan atas sebab-sebab berikut :

     

    • Kesilapan nama majikan dalam perlembagaan kesatuan yang menyebabkan pindaan perlu dibuat melalui Mesyuarat Agung Kesatuan seperti teguran pihak Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja. Kesilapan ini memberi implikasi tidak sah kepada pendaftaran kesatuan.

     

    • Skop keahlian Kesatuan juga tidak menepati Skop Perwakilan Kesatuan Sekerja di mana terdapat ahli yang menganggotai Kesatuan tersebut merupakan mereka di bawah kategori pengurusan di peringkat fakulti dan jabatan iaitu Timbalan Pengarah, Ketua Jabatan dan Penyelaras.

     

    • Selaras dengan kriteria pengiktirafan tuntutan, Kesatuan juga tidak mempunyai majoriti (50% + 1 orang staf akademik) seperti dalam kriteria pengiktirafan. Keahlian KAUNSEL ketika didaftarkan adalah rendah, iaitu 22% atau bersamaan 80 ahli daripada 365 staf akademik sahaja semasa tuntutan pengktirafan dibuat. Daripada jumlah ini lebih separuh telah menyatakan secara bertulis tidak mahu terlibat dengan kesatuan yang ditubuhkan kerana pelbagai alasan berkaitan halatuju penubuhannya.

     

    • Terdapat dalam kalangan ahli yang menyertai Kesatuan adalah dari kalangan staf yang pernah dikenakan tindakan hukuman tatatertib, termasuk mereka yang tidak mencapai markah penilaian prestasi KPI 80% dan staf yang lebih cenderung kepada tidak mematuhi polisi dan dasar akademik Universiti yang selaras dengan peraturan dan polisi oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia;

     

    • Kesatuan juga bertindak mengumpulkan staf secara tidak beretika yang secara jelas bercanggah dengan polisi dan syarat-syarat perkhidmatan UNISEL.

     

    • Universiti juga mempertikaikan senarai tuntutan yang diedarkan bagi menarik keahlian Kesatuan, di mana tuntutan-tuntutan yang dibuat adalah jelas tidak munasabah, tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan polisi Universiti. Tuntutan-tuntutan tersebut bukan sahaja melangkaui prosedur, malah boleh mencetuskan ketegangan hubungan dalam kalangan staf yang terdiri daripada staf akademik dan staf pentadbiran. Selain itu, tuntutan yang dibuat tidak menyentuh aspek yang menunjukkan usaha proaktif bagi membangunkan Unisel.

     

    • Pendirian Universiti untuk tidak mengiktiraf Kesatuan ini adalah kerana Universiti tidak bersetuju dengan tuntutan dan/atau tindakan-tindakan biadap serta tidak bertanggungjawab oleh pihak Kesatuan atau daripada wakil/agen-agen Kesatuan yang cuba mengaibkan dan mencemarkan imej pengurusan dan UNISEL. Perbuatan dan tindakan tersebut bukan sahaja menyalahi tatakelakuan/tatatertib Unisel, tetapi lebih teruk mencetuskan suasana tidak harmoni, budaya tidak menghormati dan ingkar arahan.

     

    • UNISEL juga turut kecewa apabila penubuhan Kesatuan tersebut bertindak tidak sejajar dengan hasrat Universiti untuk mewujudkan keharmonian dan seterusnya berusaha untuk membawa UNISEL sebagai salah satu Universiti yang cemerlang di dalam negara mahupun dunia.
  3. Nyatakan bilangan staf UNISEL yang berhenti di dalam tempoh 3 tahun terkini dan apakah faktor mereka meninggalkan UNISEL serta nyatakan usaha yang dibuat oleh pihak UNISEL bagi mengekang penghijrahan keluar staf yang berpengalaman?

    Jumlah Staf berhenti dan lantikan baharu staf akademik dari tahun 2020 sehingga tahun 2023 adalah seperti berikut:-