Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
81) UNDEREMPLOYMENT
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kadar pengangguran di Malaysia rendah namun, isunya adalah underemployment: pekerjaan yang tidak sama taraf dan dibayar dengan gaji yang lebih rendah dari kelayakan. Apakah usaha Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan masalah ini supaya tidak membebankan rakyat terutama anak muda?
Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia telah menetapkan misi untuk mencapai kualiti perkhidmatan pekerjaan terbaik melalui elemen kebajikan, keselamatan, kesihatan, sosial dan psikologi serta memastikan kumpulan sasar mendapatkan pekerjaan yang berkualiti dengan ruang kerja yang kondusif dan selamat.
Bagi persoalan Yang Berhormat Lembah Jaya berkenaan pekerjaan yang tidak sama taraf dan dibayar dengan gaji yang lebih rendah dari kelayakan, Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia sedia maklum dan telah memberi perhatian serius berhubung perkara tersebut. Secara dasarnya, Kerajaan Negeri berpendapat isu tersebut adalah disebabkan oleh beberapa faktor yang menjadi punca seperti berikut :
- Kurangnya industri yang menyediakan peluang pekerjaan dalam bidang pengajian yang diceburi;
- Kemahiran membuat resume yang lemah dan tidak mengikut piawan semasa;
- Etika dan tatacara ketika menghadiri temuduga yang tidak memuaskan;
- Pengalaman bekerja yang kurang untuk mendapatkan pekerjaan yang selari dengan bidang kelayakan; dan
- Permintaan perkhidmatan yang kurang dalam pasaran buruh.
Justeru itu, beberapa inisiatif telah diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengurangkan statistik pekerjaan yang tidak sama taraf daripada terus meningkat. Antara inisiatif yang telah diperkenalkan adalah seperti Program Selangor Kerjaya yang dilaksanakan oleh pihak Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) untuk Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2021. Program ini merupakan satu inisiatif strategik pengurusan bakat dan tenaga kerja bagi rakyat di Negeri Selangor untuk menangani isu penawaran pekerjaan Pasca Wabak COVID-19 dan pembangunan kemahiran tenaga kerja bagi memenuhi penawaran pekerjaan Abad Ke-21. Ia merupakan solusi pemadanan pekerjaan yang komprehensif bagi penempatan pekerjaan dengan menggunakan kaedah profiling, job matching, placement dan upskilling.
Dalam menangani masalah pengangguran, Selangor Kerjaya berusaha untuk menyelesaikan masalah ketidakpadanan kemahiran yang dimiliki oleh seseorang bakat atau tenaga pekerja dengan kemahiran yang diperlukan bagi mengisi kekosongan pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak majikan. Sehubungan dengan itu, semua peserta yang berdaftar dengan Selangor Kerjaya berpeluang untuk mengambil ujian profiling bagi menilai kemampuan kognitif, keperibadian, tingkah laku dan kemahiran berdasarkan Universal Competency Framework (dengan izin) yang akan dipadankan dengan profil pekerjaan bagi menentukan kesesuaian peserta kepada peluang kerja yang ditawarkan.
Bagi meningkatkan tahap kemahiran, calon yang berjaya ditawarkan pekerjaan akan menjalani bimbingan kerjaya dan latihan untuk meningkatkan kemahiran, sekiranya diperlukan oleh pihak majikan, serta menjalani latihan upskilling secara dalam talian selama setahun, di mana sijil penyertaan akan dikeluarkan. Pemantauan dalam bentuk mentoring juga akan diadakan secara berkala dalam tempoh setahun tersebut.
Untuk makluman, sehingga 31 Disember 2023, data daripada pihak MBI menunjukkan seramai 49,894 orang tenaga kerja telah berdaftar dengan Selangor Kerjaya dengan 20,546 orang peserta telah memanfaatkan kemudahan ujian profiling yang disediakan. Seramai 10,435 orang peserta telah dipadankan dengan peluang pekerjaan yang ditawarkan dengan 6,783 orang peserta telah berjaya ditempatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan masing-masing.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia sedang merancang untuk memberi bimbingan secara percuma kepada seluruh pencari kerja di negeri Selangor yang memerlukan khidmat untuk mempelajari asas penyediaan resume mengikut piawaian semasa di samping menyampaikan kemahiran menghadiri temuduga yang berkesan. Semakan secara rawak daripada pihak majikan mendapati, rata – rata pencari kerja gagal dalam sesi temuduga disebabkan kurangnya kemahiran komunikasi serta penyediaan resume yang tidak teratur. Lantaran itu, bagi mengurangkan masalah tersebut daripada berlanjutan, Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia sedang merangka inisiatif untuk memberikan perkhidmatan percuma ini kepada seluruh rakyat di negeri Selangor yang memerlukan bimbingan. Secara tidak langsung, ilmu dan pengetahuan yang diperolehi dapat mengatasi setiap permasalahan yang timbul dalam kalangan pencari kerja ketika berhadapan dengan situasi ketika ditemuduga.