Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
65) UJIAN SARINGAN COVID-19 NEGERI SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Nyatakan kos ujian saringan COVID-19 untuk Fasa 1, 2, dan 3. Berapakah kos test kit dan kos pengurusan?
Dalam memerangi pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri sentiasa mengikut garis panduan seperti yang telah ditetapkan oleh World Health Organization (WHO). Ini termasuklah saranan strategi FTTIS iaitu Find, Test, Trace, Isolate and Support melalui pelaksanaan saringan komuniti bersasar. Walaupun saringan ini akan menyebabkan kadar kes harian akan meningkat, namun ia merupakan satu langkah yang membolehkan Kerajaan Negeri mengenalpasti individu yang didapati positif COVID-19 namun tidak menunjukkan sebarang gejala. Susulan itu, individu tersebut akan menjalani kuarantin kendiri dan seterusnya dapat mengelakkan penularan COVID-19 ke dalam komuniti setempat.
Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Ujian Saringan COVID-19 secara berperingkat iaitu Fasa 1,2, dan 3. Kos bagi kit saringan (test kit) adalah RM70 per unit dan kos pengurusan bagi setiap ujian adalah sebanyak RM23. Jumlah kos bagi ujian saringan Fasa 1,2, dan 3 adalah seperti berikut:
Program Peruntukan Program Saringan Komuniti Bersasar Fasa Satu RM1,600,000.00 Program Saringan Komuniti Bersasar Fasa Dua RM2,060,000.00 Program Saringan Komuniti Bersasar Fasa Tiga RM6,000,000.00 Lanjutan Program Saringan Komuniti Bersasar Fasa Tiga RM10,695,000.00 Jumlah RM20,355,000.00 -
Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menurunkan kos ujian saringan berkaitan dengan kemunculan test kit air liur?
Sejak permulaan penularan pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020, Kerajaan Negeri Selangor mengambil proaktif dengan memperkenalkan program saringan komuniti secara percuma bermula pada bulan April 2020 dan diteruskan sehingga ke Fasa 3 pada tahun ini. Pada peringkat Fasa 1 dan sebahagian Fasa 2, semua ujian saringan dilaksanakan melalui ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) yang memakan kos yang tinggi. Kaedah ini ditukar kepada ujian secara Rapid Test Kit (RTK) Antigen bermula pada Fasa 3 yang melibatkan implikasi kewangan yang lebih rendah berbanding PCR dan mempunyai kadar ketepatan yang tinggi. Susulan daripada kemunculan beberapa kit ujian air liur (saliva test kit) yang telah menerima kelulusan daripada Medical Device Authority (MDA), Kerajaan Negeri dalam perancangan bagi menggunapakai saliva test kit sebagai kaedah ujian bagi ujian saringan berikutnya memandangkan kos yang lebih rendah, tempoh keputusan yang lebih cepat serta kadar ketepatan yang menghampiri RTK Antigen.