Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

178) UJIAN CALITAN COVID-19 (SWAB TEST)

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah peruntukan yang telah dibelanjakan untuk melaksanakan ujian calitan COVID-19 (swab test) yang dilaksanakan di daerah-daerah dalam Negeri Selangor baru-baru ini?

    Dalam mendepani penularan COVID-19, Kerajaan Negeri sentiasa mengikut cadangan oleh pihak-pihak yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan wabak. Ini termasuk cadangan oleh World Health Organization (WHO) dan Selangor Task Force COVID-19 (STFC) yang mencadangkan pelaksanaan ujian saringan secara bersasar bagi mengenalpasti individu yang dijangkiti COVID-19 tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala. Mengikuti saranan tersebut, Kerajaan Negeri telah menjalankan ujian saringan komuniti secara percuma bermula pada bulan April 2020 yang menumpukan di kawasan yang dikenalpasti sebagai risiko tinggi melalui penilaian oleh aplikasi SELANGKAH. Program ini kemudiannya diteruskan pada tahun 2021 dengan peruntukan sejumlah RM16.695 juta bagi keseluruhan Fasa 2 dan 3. Ini termasuk peruntukan sebanyak RM10.695 juta bagi tujuan saringan di keseluruhan 56 DUN di Negeri Selangor.

  2. Sejauh manakah keberkesanan langkah ujian calitan secara sukarela tersebut?

    Melalui saringan ini, Kerajaan Negeri berupaya mengawal perebakan yang lebih teruk di kalangan komuniti dengan memastikan mereka yang didapati positif terutama yang tidak menunjukkan sebarang gejala di isolasi atau menjalani kuaranti di rumah atau pusat kuarantin. Keberkesanan langkah ujian calitan yang dilaksanakan berjaya melebihi sasaran awal dengan lebih 2 kali ganda di mana rakyat Selangor diberikan akses kepada saringan COVID-19 yang sebelum ini agak mahal terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan.

  3. Apakah dapatan yang diperolehi hasil ujian calitan COVID-19 tersebut?

    Melalui saringan yang dijalankan, seramai 3,333 individu daripada jumlah keseluruhan berjumlah 96,542 orang yang diadapati positif. Ini menunjukkan bahawa kadar positif saringan adalah di bawah 5 peratus seperti yang disarankan oleh WHO, lantas membuktikan inisiatif ini adalah bertepatan dalam memerangi COVID-19.

Lampiran

Tiada Lampiran.