Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

263) TVET SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peranan Kerajaan Negeri Selangor dalam menggalakkan anak muda untuk menyambung pelajaran pendidikan TVET?

    Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi menarik minat graduan lepasan SPM untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang kemahiran (TVET) antaranya:

    1. Menawarkan program-program di bawah Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) yang menekankan ekosistem latihan kemahiran yang berorentasikan industri iaitu Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Program IKTISASS ini boleh menjadi asas persediaan dan melengkapkan integrasi kemahiran bagi lepasan SPM dalam meningkatkan kemahiran dengan kadar kebolehpasaran yang tinggi mengikut bidang kemahiran tersebut. Syarat kemasukan bagi program ini juga dipermudahkan bagi menggalakkan lepasan SPM mengikuti pengajian dalam bidang yang disukai tanpa memerlukan syarat kelulusan yang tinggi;
    2. Terdapat juga Program Kemahiran Profesional di bawah IKTISASS yang ditawarkan kepada mereka yang layak . Program ini dilaksanakan dengan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Ins, Apple.Inc, FESTO, Technical University of Munich (TUM) dan sebagainya. Program ini menjurus kepada permindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri. Pelaksanaan program ini bertujuan menggalakkan anak muda untuk mempelopori bidang baru di peringkat pengajian tinggi dan membantu penyediaan tenaga kerja dalam bidang yang berkaitan;
    3. Bagi menarik minat anak-anak muda menyertai bidang TVET ini, Kerajaan Negeri juga telah menetapkan syarat yang sangat minima bagi kursus-kursus TVET di peringkat SKM iaitu 3M (Membaca, Menulis dan Mengira); dan
    4. Menyediakan pembiayaan di bawah peruntukan pembangunan (P01-Program IKTISASS) bagi membantu mengurangkan beban kewangan pelajar daripada kategori B40 dan M40 melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran TVET ini.
  2. Apakah statistik terkini berkenaan peluang pekerjaan dalam bidang TVET dalam Selangor?

    Pada masa ini, Kerajaan Negeri tidak mempunyai maklumat mengenai statistik peluang pekerjaan dalam bidang TVET di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam merancang dan melaksanakan program untuk menambah serta meningkatkan kebolehpasaran anak muda dalam bidang kemahiran di Negeri Selangor. Oleh yang demikian, melalui Program Selangor Mega Job Fair yang diadakan setiap tahun, Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan di dalam bidang kemahiran selain bidang-bidang lain termasuklah bidang perhotelan, makanan dan minuman (F&B) dan sebagainya. Melalui program ini, setiap pemain industri terutama dari bidang kemahiran akan membuka banyak peluang pekerjaan dan menyenaraikan jumlah kekosongan di syarikat masing-masing. Mengikut statistik Program Selangor Mega Job Fair, sejak diperkenalkan, dianggarkan antara 4,000 hingga 7,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang termasuk kemahiran (TVET) yang ditawarkan setiap tahun oleh pelbagai syarikat yang mengambil bahagian. Setiap tahun, hampir 80% pengisian dicapai daripada anggaran peluang pekerjaan yang ditawarkan pada program ini.

  3. Bagaimana untuk memastikan institusi memberi pendidikan TVET yang berkualiti kepada pelajar?

    Bagi memastikan institusi pendidikan di bawah Kerajaan Negeri Selangor menawarkan program pendidikan TVET yang berkualiti kepada pelajar, pemantauan akan dilaksanakan melibatkan jumlah pelajar yang berdaftar dan tamat belajar setiap tahun selain mewujudkan satu pengkalan data berkaitan hala tuju pelajar selepas tamat belajar. Ini bagi memastikan setiap kursus yang ditawarkan memberi manfaat dan pekerjaan yang baik kepada pelajar setelah mereka tamat belajar. Selain daripada itu, pihak Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) selaku peneraju institusi kemahiran TVET di Negeri Selangor akan memastikan kursus-kursus yang ditawarkan relevan dengan kehendak pasaran dan akan sentiasa membuat penambah baikan dari segi modul pembelajaran dan jenis kursus yang ditawarkan agar dapat menarik lebih ramai pelajar dan menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berkualiti dalam industri terlibat. Kerajaan negeri sangat komited dalam merancang dan melaksanakan program untuk menambah serta meningkatkan keboleh pasaran anak muda dalam industri di Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.