Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

46) TVET

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha dan perbelanjaan Kerajaan Negeri terkini untuk pembangunan TVET?

    Pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor bagi menarik minat graduan lepasan SPM untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang kemahiran (TVET). Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah:

    i. Menawarkan program-program di bawah Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) yang menekankan ekosistem latihan kemahiran yang berorentasikan industri iaitu Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Program IKTISASS ini boleh menjadi asas persediaan dan melengkapkan integrasi kemahiran bagi lepasan SPM dalam meningkatkan kemahiran dengan kadar kebolehpasaran yang tinggi mengikut bidang kemahiran tersebut. Syarat kemasukan bagi program ini juga dipermudahkan bagi menggalakkan lepasan SPM mengikuti pengajian dalam bidang yang disukai tanpa memerlukan syarat kelulusan yang tinggi;

    ii. Terdapat juga Program Kemahiran Profesional di bawah IKTISASS yang ditawarkan kepada mereka yang layak. Program ini dilaksanakan dengan kolaborasi bersama beberapa syarikat dan institusi antarabangsa antaranya Siemens.Ins, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes, Technical University of Munich (TUM) dan sebagainya. Program ini menjurus kepada permindahan teknologi dengan memberi fokus kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pendidikan industri. Pelaksanaan program ini bertujuan menggalakkan anak muda untuk mempelopori bidang baru di peringkat pengajian tinggi dan membantu penyediaan tenaga kerja dalam bidang yang berkaitan;

    iii. Program kerjasama pembangunan modul bersama konsultan dan industri TVET di Negeri Selangor antaranya GE Engineering bagi program aeroangkasa, The Welding Institute (TWI Malaysia) bagi program kimpalan dan Carsome Institute bagi program automotif. Program-program ini membantu pelajar mempelajari secara spesifik keperluan di setiap industri tersebut seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk diserap bekerja dalam syarikat berkenaan;

    iv. Bagi menarik minat anak-anak muda menyertai bidang TVET ini, Kerajaan Negeri juga telah menetapkan syarat yang sangat minima bagi kursus-kursus TVET di peringkat SKM iaitu 3M (Membaca, Menulis dan Mengira); dan

    v. Menyediakan pembiayaan di bawah peruntukan pembangunan (P01-Program IKTISASS) bagi membantu mengurangkan beban kewangan pelajar daripada kategori B40 dan M40 melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran TVET ini.

    Setiap tahun, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebahagian besar peruntukan kepada program IKTISASS TVET ini dan pada tahun 2023, sebanyak RM15,300,000.00 telah diperuntukkan bagi keseluruhan program IKTISASS termasuk penajaan kursus TVET di institusi pengajian di bawah Kerajaan Negeri iaitu STDC dan lain-lain institusi pengajian swasta seperti GE Engineering Malaysia, The Welding Institute (TWI), Carsome, dan pelbagai lagi. Selain itu, peruntukan ini juga adalah bagi memenuhi keperluan pembangunan modul TVET, pengkongsian strategik tenaga pakar professional dan mewujudkan jaringan kerjasama dengan institusi pengajian dan syarikat antarabangsa antaranya Siemens.Ins, Apple.Inc, FESTO, Dassault Systemes, dan Technical University of Munich (TUM).

  2. Berapakah individu yang menerima pendidikan TVET melalui usaha ini setiap tahun untuk 5 tahun yang lepas?

    Kerajaan negeri sangat komited dalam merancang dan melaksanakan program pendidikan untuk menambah serta meningkatkan kebolehpasaran anak muda dalam bidang kemahiran di Negeri Selangor. Program TVET ini telah melahirkan ramai graduan daripada pelbagai kursus dan di pelbagai institusi pengajian berkaitan seperti STDC, UIS, German Malaysia Institute (GMI), The Welding Institute (TWI) dan Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC). Jumlah pelajar yang menerima manfaat daripada program TVET di Negeri Selangor bagi tempoh lima (5) tahun bermula 2018 adalah seperti berikut:

Lampiran

Tiada Lampiran.