Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 November hingga 23 November 2012 dan 26 November hingga 30 November 2012

112) TUNTUTAN AIR PERCUMA

Tahun: 2012

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pihak tertentu memperalatkan penduduk rumah pangsa menuntut kemudahan air percuma. Setakat ini, berapakah jumlah rumah pangsa yang masih belum menikmati 20m3 air percuma?

    Setakat ini, mengikut rekod Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) sebanyak 146,497 unit kediaman pangsapuri yang melibatkan 496 kawasan masih tidak menerima rebet air percuma seperti berikut:

    BIL. JENIS PANGSAPURI BILANGAN UNIT

    KEDIAMAN

    BILANGAN KAWASAN
    1. Pangsapuri Kos Rendah 3,500 14
    2. Pangsapuri Bukan Kos Rendah 142,997 482
      JUMLAH 146,497 496
  2. Apakah masalah yang menghalang mereka menerima air percuma?

    Berdasarkan praktis perbekalan air sedia ada yang dikendalikan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS), pelaksanaan PEMBERIAN REBET AIR PERCUMA SECARA AUTOMATIK hanya dapat dibuat kepada penduduk pangsapuri yang mempunyai akaun meter air individu sahaja khusus untuk Pangsapuri Bukan Kos Rendah. Namun, atas keprihatinan Kerajaan Negeri, SISTEM KUPON diperkenalkan untuk memastikan PENDUDUK PANGSAPURI KOS RENDAH dapat menikmati manfaat rebet air percuma ini walaupun masih menggunakan meter air pukal. Selanjutnya, sistem kupon dimansuhkan dan ditambahbaik kepada kaedah “LAPOR DAN DAPAT” supaya pemberian air percuma dapat diberi kepada kumpulan sasar dengan berkesan melalui mekanisme yang lebih ringkas dan mudah.

  3. Apakah langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah mereka?

    Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan semua penduduk pangsapuri yang masih menggunakan meter air pukal dapat menikmati rebet air percuma secara automatik dengan menyegerakan pelaksanaan migrasi meter air individu seperti berikut:

    Meminda dasar/ syarat sedia yang ditetapkan oleh pihak SYABAS demi memudahcara pelaksanaan migrasi meter air individu;

    SYARAT 1

    PERATUS PERSETUJUAN PEMILIK

    • Peratus persetujuan pemilik untuk melaksanakan migrasi meter air individu tidak lagi menjadi syarat wajib dan dimansuhkan;
    • Kelonggaran diberi kepada penyewa membuat permohonan dengan surat kebenaran daripada pemilik; dan
    • Salinan surat perjanjian jual beli yang tidak dapat dikemukakan pemilik boleh diganti dengan bil cukai taksiran bagi unit terbabit sebagai bukti pemilikan.

    SYARAT 2

    PENYELESAIAN TUNGGAKAN BIL METER AIR TERDAHULU

    ü Penyelesaian tunggakan bil air secara kontra dengan deposit meter air pukal terdahulu.  Manakala, sekiranya terdapat baki tunggakan, kaedah penyelesaian seperti berikut:

    • Akujanji pelan ansuran bayaran tunggakan yang ditandatangani oleh pihak pengurusan bangunan (pemaju/JMB/MC); atau
    • Pembahagian tunggakan secara purata kepada setiap rumah.

    SYARAT 3

    PATUHI KEPERLUAN TEKNIKAL

    ü Surat aku janji daripada pihak pengurusan bangunan untuk bertanggungjawab ke atas keperluan teknikal yang tidak dapat disediakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan SYABAS.

    • Mengadakan mesyuarat secara berkala melalui Jawatankuasa PRIHATIN (Pemudah Isu-Isu Hartanah Bertingkat) bagi menyelesaikan isu bil air tertunggak; dan
    • Mengadakan mesyuarat Jawatankuasa         Task Force   Penyelesaian

    Migrasi Meter Air Individu Negeri Selangor (PERMAI) secara berjadual bersama senarai pemohon-pemohon yang masih belum mendapat kelulusan perlaksanaan Air Percuma daripada pihak SYABAS. Jawatankuasa ini dianggotai oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS), Unit Pesuruhjaya Bangunan COB dan pihak pengurusan bangunan (pemaju, JMB atau MC) untuk menyegerakan penyelesaian isu-isu pelaksanaan migrasi meter air pukal kepada meter air individu secara berkesan yang.  Selain itu, Jawatankuasa Task Force PERMAI akan membuat pemantauan dengan SYABAS berhubung tindakan yang telah diambil mengikut tempoh yang ditetapkan seperti berikut:

    PERKARA TEMPOH
    Perakuan lulus migrasi meter air individu di peringkat Mesyuarat EXCO SYABAS 2 minggu dari tarikh Mesyuarat Jawatankuasa

    Task Force PERMAI

    Aktif akaun migrasi meter air individu bagi pangsapuri 2 minggu dari tarikh lulus

    Mesyuarat EXCO SYABAS

Lampiran

Tiada Lampiran.