Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

222) TUNGGAKAN KEPADA KONTRAKTOR-KONTRAKTOR KUTIPAN SAMPAH DAN PEMBERSIHAN

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyak tunggakan yang PBT masih berhutang dengan kontraktor- kontraktor kutipan sampah dan pembersihan semasa zaman Alam Flora sehingga sekarang? Nyatakan amaun dan PBT berkenaan?

    Berdasarkan keputusan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, semua PBT diarahkan supaya menjelaskan segala tunggakan hutang kepada pihak AFSB dengan kadar segera. Sehubungan dengan itu, dimaklumkan bahawa kebanyakan PBT telah menjelaskan semua tunggakan yang dinyatakan oleh pihak AFSB pada 15 Disember 2011. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa PBT yang masih berhutang dengan pihak AFSB seperti Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) sebanyak RM2,215,506.19, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) sebanyak RM6,400,000.00 dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) sebanyak RM6,913,392.99.

  2. Apakah tren keseluruhan pembayaran kepada kontraktor oleh setiap PBT? Adakah tunggakan ini semakin bertambah atau semakin berkurangan?

    Masalah tunggakan tersebut disebabkan oleh pihak AFSB yang melambatkan proses pembayaran kepada kontraktor. Walau bagaimanapun, jumlah tunggakan oleh PBT kepada pihak kontraktor AFSB adalah semakin berkurangan setelah proses pengambilalihan dilakukan oleh Kerajaan Negeri. Antara trend pembayaran yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) adalah dengan mengikut kepada piagam yang telah ditetapkan iaitu selama 2 minggu daripada tarikh penerimaan. Manakala pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menjelaskan pembayaran setelah pihak kontraktor mengemukakan dokumen tuntutan bayaran pada atau sebelum 5hb setiap bulan. Ini menunjukkan bahawa proses pembayaran yang dilaksanakan oleh PBT adalah lebih memuaskan dari AFSB.

Lampiran

Tiada Lampiran.