Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
115) TUNGGAKAN CUKAI TANAH
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan jumlah hasil cukai tanah serta tunggakan cukai tanah mengikut pecahan daerah daripada tahun 2005-2010.
Kutipan hasil Cukai Tanah Semasa keseluruhan Negeri Selangor pada tahun 2005
adalah RM273.62 juta, meningkat kepada RM318.65juta pada tahun 2006. Pada
tahun 2007, menurun kepada RM309.21juta dan meningkat semula pada tahun 2008
dengan kutipan sebanyak RM335.78juta dan terus meningkat pada tahun 2009
dengan kutipan sebanyak RM351.16juta. Sehingga Mei 2010, kutipan cukai tanah
semasa adalah RM300.73juta.
Kutipan hasil tunggakan cukai tanah keseluruhan Negeri Selangor pada tahun 2005
adalah RM62.79juta, meningkat kepada RM75.18juta pada tahun 2006. Pada tahun
2007, meningkat kepada RM77.42juta dan meningkat kepada RM99.24juta pada
tahun 2008 dan menurun pada tahun 2009 dengan kutipan sebanyak RM92.14juta.
Sehingga Mei 2010, kutipan tunggakan cukai tanah adalah RM41.87juta.
Perincian kutipan hasil Cukai Tanah Semasa dan Tunggakan Cukai Tanah mengikut
Pejabat Daerah/Tanah daripada tahun 2005-2010 adalah seperti di LAMPIRAN 1. -
Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan bagi memungut semua tunggakan cukai tanah dan meminimumkan kadar tunggakan cukai tanah supaya tidak mengganggu pendapatan negeri?
Langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengurangkan tunggakan
hasil negeri adalah melalui Operasi Bersepadu mengutip Hasil Tanah (Ops Kutip)
yang dijalankan dengan kerjasama antara Perbendaharaan Negeri Selangor, semua
Pejabat Tanah/Daerah dan PTG Selangor. Ops Kutip dengan polisi “Knock Door” ke
premis penunggak-penunggak tegar dilaksanakan dengan pendekatan seperti
berikut:-
i) Pejabat Daerah/Tanah mengenal pasti hak milik dengan cukai tanah
tertunggak (yang bermasalah/tempoh yang lama tidak membayar cukai) agar
dapat diambil tindakan susulan;
ii) Lawatan ‘Knock Door’ iaitu dengan menghantar notis tuntutan dan surat
peringatan terus kepada penunggak-penunggak tegar;
iii) mengadakan siri perbincangan bersama penunggak-penunggak tegar bagi
menyelesaikan cukai tanah tertunggak;
iv) memberikan peluang kepada penunggak untuk membayar secara ansuran
berjadual dengan syarat pembayaran dibuat secara konsisten; dan
v) sekiranya penunggak tegar tersebut masih tidak menjelaskan cukai tanah
tertunggak, Pejabat Tanah dan Daerah tanpa teragak-agak akan terus
menguatkuasakan Notis 6A, Notis Tuntutan Hasil Tertunggak dan sekiranya
dalam tempoh 3 bulan ia masih tidak dijelaskan maka seterusnya Notis 8A,
Rampasan Tanah akan dilaksanakan.
Bagi menggalakkan pembayaran cukai oleh individu dan syarikat, Kerajaan Negeri
juga telah memberikan Insentif Pengurangan Denda Lewat iaitu:-
i) pengurangan sehingga 50% bagi denda lewat cukai tanah di atas
pertimbangan oleh Pegawai Tanah dan Daerah atas syarat yang ditetapkan
iaitu membayar keseluruhan cukai tanah tertunggak dan bukan secara
ansuran; dan
ii) pengurangan sehingga 100% di atas pertimbangan oleh Pengarah Tanah
dan Galian Selangor. -
Adakah kerajaan mewujudkan sebarang insentif bagi PDT yang berjaya mengutip tunggakan cukai tanah yang paling tinggi?
Kerajaan Negeri memberikan insentif penghargaan kepada Pejabat-Pejabat
Tanah/Daerah yang berjaya mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak 90% Cukai
Tanah Semasa dan 70% Tunggakan Cukai Tanah berdasarkan prestasi pencapaian
kutipan hasil Pejabat-Pejabat Tanah/Daerah Negeri Selangor. Pejabat Tanah/Daerah
yang mencapai prestasi tersebut diberikan insentif wang tunai RM100,000.00 dan
disampaikan sebagai Anugerah Prestasi Kutipan Hasil Pejabat Tanah/Daerah Negeri
Selangor semasa Majlis Penganugerahan Bulan Kualiti Tahunan. Insentif ini telah
dianugerahkan bagi prestasi kutipan hasil cukai tanah tahun 2007 dan 2008,
manakala bagi prestasi kutipan tahun 2009 akan disampaikan pada Majlis
Penganugerahan Bulan Kualiti 2010.