Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

270) TUNGGAKAN CUKAI ANAK SYARIKAT KERAJAAN NEGERI

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah tunggakan cukai tanah semua agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri mengikut daerah.

    Untuk makluman YB. Kuala Kubu Baharu, melalui semakan di dalam Sistem eHasil sehingga 31 Oktober 2018, jumlah tunggakan cukai tanah bagi semua agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM26,442,762.03. Pecahan tunggakan mengikut daerah, Klang adalah sebanyak RM5,198,942.63, Kuala Langat RM332,389.84, Kuala Selangor RM2,091,191.70, Hulu Langat RM1,467,322.84 diikuti Hulu Selangor RM6,153,354.94, Petaling RM5,516,891.18, manakala untuk Gombak pula adalah sebanyak RM4,704,561,891.18, Sepang sebanyak RM958,888.21 dan akhir sekali Sabak Bernam sebanyak RM19,218.80.

  2. Adakah PKNS telah menjelaskan tunggakan cukai tanah kepada semua daerah? Jika tidak, nyatakan sebab-sebabnya

    Sehingga 31 Oktober 2018, nilai tunggakan cukai tanah yang belum dijelaskan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) adalah sebanyak RM9,930,091.55 meliputi keseluruhan sembilan (9) buah daerah di Negeri Selangor dengan bilangan hakmilik yang masih mempunyai tunggakan cukai adalah sebanyak 9,406 hakmilik. Manakala jumlah bayaran cukai dan tunggakan cukai yang telah dijelaskan oleh pihak PKNS kepada Kerajaan Negeri pada tahun ini adalah sebanyak RM16,650,488.74 melibatkan 4,449 hakmilik.

     

    Antara sebab utama tunggakan cukai tanah ini belum dijelaskan oleh pihak PKNS adalah kerana kebanyakan hartanah yang mempunyai tunggakan ini adalah hartanah yang telah dijual kepada pembeli dan telah diduduki atau disewa oleh pembeli tetapi urusan pindahmilik masih belum disempurnakan oleh pembeli mengakibatkan suratan hakmilik masih berdaftar di atas nama pihak PKNS. Rentetan daripada situasi ini ianya telah menyebabkan berlakunya tunggakan cukai tanah ini.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.