Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

31) TUNGGAKAN BIL AIR PANGSAPURI TAIPAN

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Merujuk kepada Usul No. 19 Tahun 2010 berkenaan ÓTunggakan Bil Air Pangsapuri TaipanÓ: Apakah jawapan SYABAS terhadap saranan Kerajaan Negeri melalui LPHS bagi penyelesaian masalah tersebut?

    SYABAS secara dasarnya tidak bersetuju dengan cadangan supaya sebahagian jumlah hutang dilupuskan atas sebab kebocoran dan sebahagian jumah lain dituntut daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) sebagai pelikuidasi atas alasan ia akan menjejaskan prestasi syarikat dan akan menjadi ikutan kepada kawasan lain yang menghadapi masalah serupa.

    SYABAS mencadangkan supaya hutang tersebut ditanggung oleh penduduk tetapi dibahagikan secara purata mengikut petak dengan kaedah bayaran balik secara ansuran selama 4 tahun. Namun demikian, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah meminta SYABAS untuk tetap memfailkan tuntutan sebahagian tunggakan tersebut kepada pihak JIM. SPAN juga dalam masa yang sama meminta SYABAS mempertimbangkan pelaksanaan migrasi dengan syarat-syarat yang dilonggarkan. Pihak Pengurusan SYABAS kini sedang meneliti dan menimbang saranan SPAN tersebut.

  2. Berapakah pertambahan tunggakan bil air bagi tahun 2010?

    Oleh kerana pemotongan bekalan air secara kekal bagi 3 akaun meter pukal talah dilakukan pada 30 September 2010, maka tunggakan bil air bagi Pangsapuri Taipan setakat Ogos 2010 adalah seperti berikut:-

    Bil Blok Jumlah Tunggakan (RM)
    1. A Tiada tunggakan
    2. B 176,042.70
    3. C 525,513.00
    4. D 238,001.42
      Jumlah 939,557.12
  3. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam mengatasi masalah kebocoran air bagi jangka masa panjang?

    Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah ini secara jangka panjang telah memperuntukkan sebanyak RM40,000.00 untuk melaksana kerja paip pintasan bagi mengatasi kebocoran paip dalaman terlibat. Setakat 16 Jun 2011, pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengesahkan bahawa kerja-kerja paip pintasan tersebut telah pun 70% siap dan dijangka dapat mencegah kebocoran yang menjadi punca utama bil air yang tinggi daripada berulang.

Lampiran

Tiada Lampiran.