Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
182) TUGAS KERAJAAN PUSAT YANG DIPIKUL OLEH KERAJAAN NEGERI DALAM COVID-19
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tugas, program atau initiatif Kerajaan Negeri untuk melawan COVID-19 yang sepatutnya kerja Kerajaan Pusat?
Kerajaan Negeri sentiasa merencana dan melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi mengawal dan mengekang penularan wabak Covid-19. Kerajaan Negeri berpendapat dengan mengadakan ujian saringan bersasar dapat mengesan ‘silent carriers’ di kalangan komuniti sekaligus dapat memutuskan rantaian jangkitan wabak. Oleh itu, Kerajaan Negeri memutuskan untuk melaksanakan Program Ujian Saringan Covid-19 Komuniti Bersasar secara percuma di Negeri Selangor.Program Saringan ini telah dilaksanakan sejak tahun lalu bermula dengan Fasa Satu dan Dua. Fasa pertama dan kedua dilaksanakan di kawasan-kawasan tertentu yang dikenalpasti sebagai kawasan ‘hotspot’ di seluruh Negeri Selangor. Seterusnya Fasa Ketiga dilaksanakan sebagai langkah mitigasi bagi menangani penularan dan peningkatan kes Covid-19 di Selangor dengan turut memberi fokus kepada golongan seperti berikut:
- Pusat Jagaan Warga Emas berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat;
- Pusat rawatan dialisis;
- Golongan yang menghidapi comorbirdity; dan
- Golongan Terendah 40% (B40) di kawasan flat atau perumahan kos rendah.
Selain itu, saringan Fasa 3 turut melibatkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri bermula 8 Mei 2021 hingga 10 Jun 2021. Sehingga 31 Julai 2021, sejumlah 117,906 individu telah menjalani ujian saringan Fasa 3. Saringan Fasa 3 ini diteruskan dengan mensasarkan 100,000 saringan dengan peruntukan berjumlah RM10,695,000.
-
Untuk setiap usaha tersebut, sila butirkan kos yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri.
Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan dari Sementa (N43) No.158 (a). Kerajaan Negeri amat komited dalam melaksanakan saringan komuniti kerana manfaat yang diperoleh mampu mengelakkan penularan Covid-19 yang lebih teruk ke dalam komuniti setempat. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, jumlah peruntukan bagi Program Saringan adalah seperti berikut:-
Program Peruntukan Program Saringan Komuniti Bersasar Fasa Satu (1) (Pakej Selangor Prihatin Fasa 2) RM1,600,000.00 Program Saringan Komuniti Bersasar Fasa Dua (2) (Pakej Selangor Prihatin Fasa 2) RM2,060,000.00 Program Saringan Komuniti Bersasar Fasa Tiga (3) (Pakej Kita Selangor) RM6,000,000.00 Lanjutan Program Saringan Komuniti Bersasar Fasa Tiga (3) (Pakej Kita Selangor 2.0) RM10,695,000.00 Jumlah RM20,355,000.00