Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
44) TRIBUNAL PENGURUSAN STRATA DI BAWAH AKTA PENGURUSAN STRATA 2013
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status Tribunal Pengurusan Strata di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) yang telah diumumkan berkuat kuasa di Selangor pada 1 Jun 2015 lalu?
Selaras dengan pewartaan tarikh permulaan kuat kuasa Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) pada 1 Jun 2015 di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali di Negeri Pulau Pinang melalui pewartaan P.U. (B) 231/2015 (pewartaan tersebut), suatu Tribunal yang dikenali sebagai Tribunal Pengurusan Strata (TPS) akan ditubuhkan dan tertakluk kepada Bahagian IX Akta
Sebelum Tribunal Pengurusan Strata ditubuhkan, Fasal (3) Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan Malaysia (Perlembagaan Persekutuan tersebut) memperuntukkan bahawa undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (4) Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan hendaklah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri melalui suatu ketetapan terlebih dahulu. Fasal (3) Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seperti berikut:
“Perkara 80. Pembahagian kuasa eksekutif.
(1) … (2)…
(3) Setakat yang sesuatu undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (4) Perkara 76 membuat peruntukan bagi memberikan kuasa eksekutif kepada Persekutuan, undang-undang itu tidak boleh berkuat kuasa di mana-mana Negeri melainkan jika diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri itu melalui suatu ketetapan.”
Justeru itu, satu ketetapan (resolusi) Dewan Negeri yang memberi kuasa eksekutif kepada Kerajaan Persekutuan dalam hal pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan anggota Tribunal Pengurusan Strata di bawah subseksyen 103(1) Akta 757 serta pelantikan Setiausaha, pegawai serta kakitangan Tribunal Pengurusan Strata di bawah subseksyen 104(1) Akta 757 oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu dilaksanakan selaras dengan keperluan Fasal (3) Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan.
Walau bagaimanapun, LPHS hanya menerima draf resolusi daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan semasa sidang DUN Penggal Kedua Negeri Selangor sedang berlangsung dan ketika ini draf resolusi berkenaan masih di dalam semakan Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor untuk tujuan semakan lanjut.
-
Sila nyatakan cadangan komposisi anggota Tribunal Pengurusan Strata tersebut untuk PBT di Negeri Selangor
Selaras dengan peruntukan di dalam Seksyen 1(3) Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757], Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melalui pewartaan P.U. (B) 231/2015 (pewartaan tersebut) menetapkan tarikh permulaan kuatkuasa Akta 757 pada 1 Jun 2015 di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali di Negeri Pulau Pinang. Selaras dengan pewartaan tersebut, suatu Tribunal yang dikenali sebagai Tribunal Pengurusan Strata akan ditubuhkan seperti yang diperuntukkan dalam Bahagian IX Akta 757. Keanggotaan Tribunal adalah berdasarkan kepada lantikan Menteri bagi seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan tidak kurang daripada dua puluh anggota
Walau bagaimanapun, semasa kunjungan hormat yang diadakan pada 23 Oktober 2014, di antara Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YB Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Dato’ Menteri Besar Negeri Selangor, Y.A.B Tuan Mohamed Azmin Ali telah memohon pertimbangan KPKT untuk membenarkan sebahagian keanggotaan Tribunal turut diisi oleh wakil kerajaan Negeri Selangor kerana kesan perlaksanaan Tribunal ke atas kerajaan negeri secara langsung akan mengehadkan kuasa kerajaan negeri dalam proses pendakwaan, medium perbincangan, dan rayuan bagi pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pesuruhjaya Bangunan (COB).