Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
83) TREND KEMISKINAN
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah kerajaan negeri mengesan trend kemiskinan di Selangor dan natijah dari dasar GST?
Berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2014 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (seperti di JADUAL 1), negeri Selangor mencatatkan penurunan insiden kemiskinan daripada 0.4% pada tahun 2012 kepada 0.2% pada tahun
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil perhatian yang serius akan trend kemiskinan di negeri Selangor. Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah pun mengambil inisiatif penting bagi mencapai matlamat membasmi kemiskinan di Negeri Selangor sehingga ke akar umbi. Untuk mencapai hasrat ini, satu kaedah pengukuran terhadap kadar kemiskinan perlu diwujudkan serta Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor yang terkini perlu dimuktamadkan berikutan peningkatan taraf hidup dan ekonomi semasa yang tidak menentu.
Sehubungan dengan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 5/2015 bertarikh
4 Februari 2015 yang lalu telah meluluskan pelaksanaan Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor serta melantik terus Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebagai perunding kajian bermula pada Mac 2015 hingga Mac 2016.
Kajian ini dilihat berupaya membolehkan Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti dan merangka dasar baru, program dan peruntukan yang lebih komprehensif untuk membasmi kemiskinan secara efektif, mengenalpasti jumlah sebenar penduduk miskin serta memastikan bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri adalah tepat kepada golongan sasar yang benar-benar memerlukan. Manfaat yang diperolehi melalui program-program bantuan ini membolehkan serta memastikan peluang ekonomi dinikmati secara saksama oleh rakyat Negeri Selangor tanpa mengira etnik dan latar belakang ke arah membentuk masyarakat yang lebih sejahtera, makmur dan berdaya maju.
Sepertimana umum sedia maklum, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) merupakan cukai kepenggunaan berasaskan konsep nilai tambah. GST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran
dan pengedaran dalam rantaian pembekalan termasuk pengimportan barang dan perkhidmatan. Oleh yang demikian, pelaksanaan GST ini didapati memberi kesan/ impak terhadap kehidupan seharian rakyat Malaysia secara amnya dan golongan berpendapatan rendah khususnya memandangkan rakyat terpaksa menanggung kesan kenaikan harga barang secara mendadak. Ini akhirnya akan mengurangkan kuasa membeli rakyat kerana beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
-
Apakah langkah tambahan kerajaan membantu rakyat Selangor yang terkesan?
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan memfokuskan kepada program-program ke arah mentransformasikan masyarakat miskin tegar dan miskin kepada masyarakat yang berupaya menjana pendapatan yang mencukupi bagi menanggung kos hidup serta seterusnya berupaya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Tiga (3) program teras pembasmian kemiskinan di bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan adalah seperti berikut:-
- Teras 1: Program yang berupaya menjana dan meningkatkan pendapatan:-
- Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan
- Teras 2: Program yang menyediakan peluang untuk melanjutkan pengajian melalui penajaan pendidikan/ latihan:-
- Program Kemahiran Teknikal melalui INPENS International College
- Teras 3: Program yang berupaya membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan kos taraf hidup:-
- Program Pemberian Bantuan Bersempena Perayaan; dan
- Program Pemberian Bantuan Persekolahan Bersempena Back to School.
Selain itu, di bawah Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin pula, Kerajaan Negeri turut membantu rakyat Selangor yang kurang berkemampuan memiliki rumah yang selesa sebagai tempat berteduh melalui Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri juga turut menyediakan beberapa Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) di bawah Jawatankuasa – jawatankuasa Tetap yang lain untuk membantu meringankan bebanan rakyat seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti, Insentif Perkahwinan Belia dan pelbagai lagi. Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Dar Al-Qadr Al Hasan Selangor telah memperkenalkan Program HIJRAH Selangor, di mana ianya merupakan program mikrokredit yang dijangka berupaya meningkatkan pendapatan rakyat Negeri Selangor serta melebarkan golongan kelas menengah.
Melalui pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri ini, ianya dilihat berupaya menghasilkan impak positif terhadap pendapatan golongan sasaran serta seterusnya mengurangkan kadar kemiskinan di Negeri Selangor.