Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

20) TRANSFORMASI DIGITAL

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah kerajaan negeri mengimplementasikan transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat?

    Sejak awal 2020-an, Kerajaan Negeri Selangor (KNS) telah mengimplementasikan transformasi digital menerusi dan berpandukan pelan dan blueprint seperti Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021–2025, Pelan Strategik Pendigitalan Pentadbiran SUK Selangor (PSPPSUK) 2021-2025 dan Pelan Tindakan Smart Selangor (SSAP) 2025.

     

    1. Rancangan Selangor Pertama (RS-1)

    RS-1 merupakan rancangan pembangunan komprehensif yang menjadi hala tuju strategik bagi Negeri Selangor dalam tempoh 2021 sehingga 2025. Ia termasuk matlamat dan inisiatif jangka pendek, sederhana dan jangka panjang serta masa depan pertumbuhan Selangor sebagai Negeri pintar, makmur dan berdaya huni menjelang 2025. Terdapat empat (4) Teras Strategik (TS) di dalam RS-1 iaitu Pengukuhan Ekonomi, Peningkatan Kesejahteraan dan Keterangkuman Sosial, Pemacuan Kelestarian dan Tadbir Urus S.M.A.R.T. dan Berkesan. Dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, elemen tadbir urus (TS keempat) memainkan peranan utama bagi mengupayakan transformasi digital.

     

     

    1. Pelan Strategik Pendigitalan Pentadbiran SUK Selangor (PSPPSUK) 2021-2025

    PSPPSUK 2021-2025 merupakan dokumen yang menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan SUK Selangor bagi tempoh 2021 hingga 2025.  Selaras dengan visi Pelan Strategik SUK Selangor 2023-2025 sebagai Selangor Negeri “Smart, Caring and Resilience”, PSPPSUK 2021-2025 bertujuan untuk menggalakkan penggunaan teknologi dalam perkhidmatan awam, meningkatkan kebolehcapaian dan meningkatkan kecekapan operasi kerajaan negeri.

     

    PSPPSUK 2021-2025 telah menggariskan empat (4) teras stategik pendigitalan iaitu: (i) Pemantapan Infostruktur Secara Inklusif dan Bersepadu, (ii) Pengukuhan Infostruktur Pendigitalan Stabil dan Mampan, (iii) Pemerkasaan Persekitaran Pendigitalan Pentadbiran Negeri dan (iv) Pengukuhan Kepakaran dan Kepimpinan Strategik Pendigitalan Pentadbiran Negeri. Berpandukan Visi, Misi dan Teras Strategik Pendigitalan, beberapa strategi dan program telah dirancang untuk dilaksanakan bagi memastikan matlamat “Selangor Negeri Pintar Berdayahuni di ASEAN 2025” dapat dicapai. Pemantauan Berkala Pelaksanaan PSPPSUK Selangor 2021-2025 turut dilaksanakan bertujuan untuk mengkaji dan menilai keberkesanan pelaksanaan PSPPSUK, mengenal pasti cabaran yang dihadapi dan mencadangkan pelarasan atau penambahbaikan yang sesuai untuk memastikan PSPPSUK terus relevan dengan visi dan matlamat kerajaan negeri.

     

    • Pelan Tindakan Smart Selangor (SSAP)

    Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh SSDU Innovations Sdn Bhd (SDU) adalah berpandukan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025. Fokus utama SSDU dalam menjadikan Negeri Selangor terbahagi kepada empat (4) domain utama iaitu Smart Government, Smart Economy, Smart Community dan Smart Digital. Inisiatif di bawah domain Smart Government memainkan peranan penting dalam membentuk perkhidmatan Negeri Selangor secara digital dan kini peratusan kemajuan di bawah domain ini adalah sebanyak 59%.

     

    Smart Government

    Matlamat Smart Government adalah untuk menghasilkan tiga (3) outcome utama iaitu: (i) Memudahkan rakyat Selangor dan peniaga di Selangor untuk berurusan dengan kerajaan negeri; (ii) Menjadi kerajaan berasaskan data (data-driven) untuk meningkatkan responsif perkhidmatan di Selangor; serta (iii) Menjadi kerajaan berkebolehan tinggi yang sentiasa fit untuk era digital. Antara inisiatif utama Smart Government yang telah dilaksanakan oleh SSDU adalah seperti berikut:

     

    Pelaksanaan bagi mengupayakan transformasi digital yang berkesan telah disusun dengan penerapan beberapa aspek dan aktiviti seperti kajian dan inovasi yang merupakan peneraju utama dalam membantu mengenal pasti teknologi terkini, trend dan amalan terbaik, manakala inovasi melibatkan pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian baharu; mengenalpasti kaedah dan pendekatan yang sesuai dan selaras dengan perkembangan semasa; penilaian, penambahbaikan dan penguatkuasaan polisi, piawai dan peraturan, mengenalpasti strategi dan pelaksanaan program, peningkatan kemahiran digital melalui program latihan dan pembangunan, seterusnya memastikan kebolehcapaian dan ketersambungan infrastruktur digital dan fizikal.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan akan menggunapakai inisiatif transformasi digital di peringkat Kerajaan Persekutuan Malaysia seperti Program Malaysia Digital Economy (MyDIGITAL), pelaksanaan inisiatif Digital ID dan PADU sebagai hab pangkalan data pusat kerajaan. Ini bertujuan untuk memastikan transformasi digital yang berkesan, meningkatkan penyelarasan antara pelbagai agensi kerajaan, mengurangkan redundansi, serta memastikan kebolehcapaian kepada masyarakat setempat, sejajar dengan keperluan semasa. Kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri adalah penting untuk memacu transformasi digital yang berkesan di seluruh negara.

  2. Bagaimanakah kerajaan negeri memastikan aksesibiliti digital untuk semua lapisan masyarakat?

    Transformasi Digital menjadi penggerak yang amat penting bagi memudahkan saling hubungan kerajaan dengan rakyat. Oleh itu, Kerajaan Negeri sering mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan aksesibiliti digital untuk semua lapisan masyarakat melibatkan penyediaan perkhidmatan dan maklumat digital yang mudah diakses dan difahami oleh pelbagai individu dalam masyarakat melalui inisiatif seperti memperkenalkan perkhidmatan dalam talian untuk kemudahan rakyat, menyediakan program pelatihan digital, dan meningkatkan infrastruktur ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi).

     

    Kerajaan Negeri telah memperkenalkan aplikasi Citizen E-Payment (CEPat) yang menyediakan kemudahan perkhidmatan pembayaran atas talian Kerajaan Negeri Selangor pelbagai peringkat (cukai pintu, kompaun, lesen), pembayaran utiliti dan perkhidmatan pembayaran TELCO kepada pengguna. Objektif pelaksanaan CEPat adalah untuk menyediakan saluran pembayaran alternatif secara atas talian kepada pengguna perkhidmatan kerajaan di Negeri Selangor.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan platform untuk peniaga di Selangor mengupayakan perniagaan mereka secara digital. Smart Selangor SME Platform telah dibangunkan sebagai platform promosi dan direktori untuk bantuan perniagaan Digital dan Ekonomi peniaga IKS di Negeri Selangor. Platform ini membantu mengurus perniagaan dengan mudah, mencapai pasaran yang lebih luas dan mempertingkatkan jualan dengan kos yang minima. Melalui platform ini, peniaga mampu mendapatkan latihan dan bimbingan perniagaan, program modal bantuan, insentif pendigitalan dan lain -lain.

     

    Di samping itu, pengguna perkhidmatan bas Smart Selangor juga boleh menggunakan perkhidmatan Scan To Ride (STR), yang merupakan satu modul di dalam aplikasi CEPat untuk membolehkan pengguna Bas Smart Selangor mengimbas QR code sebelum menaiki bas. Menerusi perkhidmatan STR ini, warganegara Malaysia dapat dikenalpasti dan boleh menaiki bas Smart Selangor secara percuma. Selain daripada itu, pengguna perkhidmatan bas Smart Selangor juga boleh menggunakan aplikasi Selangor Intelligent Transport System (SITS) yang disediakan oleh SSDU untuk membolehkan pengguna mengetahui lokasi hentian bas dan juga waktu ketibaan bas Smart Selangor di hentian bas tersebut.

     

    Selain daripada penyediaan aplikasi-aplikasi pintar, Kerajaan Negeri turut menganjurkan pelbagai program kesedaran dan kempen promosi menerusi sesi jerayawara (roadshow), penggunaan media sosial serta hebahan di media terbitan/siaran bagi memastikan rakyat di seluruh negeri maklum tentang kemudahan ini serta berupaya menggunakan perkhidmatan secara efektif.

     

    Secara tidak langsung, rakyat berupaya untuk mengakses perkhidmatan digital kerajaan sama ada yang tinggal di bandar ataupun di luar bandar. Malahan, jurang digital dapat dikurangkan dan tahap celik digital dapat ditingkatkan tanpa mengira latar belakang dan lapisan masyarakat.

Lampiran

Tiada Lampiran.