Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
125) TRAFIK DAN PENGURUSAN LALU LINTAS
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah polisi Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan di kawasan-kawasan perumahan baru seperti pangsapuri atau perindustrian baru supaya tidak menambahkan trafik di sekitar kawasan perumahan yang telah pun dikategorikan "F"?
Pada asasnya, semua bentuk pembangunan baru akan menambah atau menjana trafik di sesuatu kawasan. Di Negeri Selangor, pada asasnya terdapat tiga (3) dasar perancangan dan pengawalan perancangan berkenaan dengan sistem pengangkutan dan lalulintas.
Pertamanya adalah melalui Rancangan Struktur Negeri Selangor (RSNS) 2035 yang telah diwartakan pada 2 Februari 2017. RSNS 2035 ini merupakan rangka perancangan strategik negeri. Di dalam RSNS 2035 ini, terdapat dua (2) dasar berkenaan pembangunan perumahan, pengangkutan dan lalu lintas.
- Dasar pertama adalah berkenaan dengan semua jenis Pembangunan Perumahan Perlu Dilengkapi Dengan Sokongan Berasaskan Piawaian Dan Mematuhi Garis Panduan Perancangan Semasa; manakala
- Dasar Kedua adalah berkenaan keperluan Penyediaaan Kemudahan Awam, Rekreasi Dan Sistem Pengangkutan Yang Berkualiti Di Kawasan Perumahan.
Kedua-dua dasar ini digariskan bertujuan bagi memastikan pembangunan wilayah bandar dirancang secara holistik serta disokong dengan bekalan utiliti yang mencukupi, mempunyai tahap kemudahsampaian dan kemudahgerakan yang tinggi, selamat dan selesa.
Dasar-dasar yang digariskan dalam (RSNS) 2035, diterjemahkan ke Rancangan Tempatan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Di dalam sesebuah Rancangan Tempatan (RT), digariskan cadangan-cadangan projek, program, strategi dan panduan tertentu. Cadangan-cadangan projek, program, strategi dan kawalan perancangan dalam RT ini akan menjadi rujukan utama kepada PBT dan agensi teknikal yang terlibat dalam mengawal pemajuan di dalam kawasan PBT berkenaan.
Negeri Selangor juga turut mempunyai Dasar Perancangan Pembangunan Berorientasikan Transit Negeri Selangor telah digunapakai semenjak tahun 2016. Transit Oriented Development (TOD) ini merupakan konsep pembangunan di kawasan bandar yang menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang sesuai dengan jarak berjalan kaki. Bagi menggalakkan pelaksanaan pembangunan TOD ini, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan beberapa insentif kepada pemaju seperti kebenaran meningkatkan intensiti pembangunan (dari segi densiti/nisbah plot) serta mengurangkan bilangan penyediaan tempat letak kenderaan.
Selain dasar-dasar dasar yang disebutkan tadi, Kerajaan Negeri juga turut menggunakan mekanisme pengawalan pembangunan semasa cadangan pemajuan dikemukakan kepada PBT. Terdapat tiga (3) alat pengawalan perancangan yang digunakan pada masa kini iaitu―
- Pertamanya adalah penggunapakaian Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor Edisi Keempat (MGPPPNS Edisi 4). Manual ini merupakan salah satu alat pengawalan perancangan utama yang digunakan di Negeri Selangor. Manual ini mengariskan agar pembangunan pangsapuri perkhidmatan (servis apartment) hanya ditumpukan di kawasan-kawasan berikut sahaja, iaitu-
i. Dalam kawasan pusat bandar dan Central Business District (CBD);
ii. di dalam radius 400 meter yang mana terdapat Integrated Transport Terminal/LRT/ komuter;
iii. di dalam radius 400 meter yang mana terdapat kawasan institusi dan pusat pengajian tinggi seperti universiti atau kolej;
iv. di dalam kawasan pembangunan semula bandar; dan
v. di kawasan yang dibenarkan pembangunan pangsapuri perkhidmatan sepertimana yang dinyatakan dalam RT atau RKK serta mematuhi apa-apa garis panduan terkini yang sedang berkuatkuasa.
- Alat kedua adalah melalui pengenaan syarat penyediaan Traffic Impact Assessment (TIA). Laporan TIA diwajibkan kepada pihak pemaju sebelum memulakan projek (lazimnya dikenakan ke atas pembangunan berskala besar atau berintensiti tinggi) untuk menilai impak pembangunan ke atas lalulintas di sekitar kawasan yang terlibat dan mencadangkan langkah-langkah mitigasi bagi mengurus dan mengurangkan kesesakan yang dijangka akan timbul.
- Alat ketiga adalah pengenaan syarat menjalankan kajian Penilaian Impak Sosial (SIA)/ menjalankan Analisis Impak Sosial (AIS) sebelum memulakan sesuatu projek bertujuan bagi menilai impak pembangunan terhadap ekonomi, sosial dan kawasan sekitar yang terlibat serta mencadangkan langkah-langkah mitigasi untuk mengurus dan mengurangkan impak sosial yang dijangka berlaku.