Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

65) TKPM

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah bilangan dan peratusan yang tidak diusahakan?

    Mengikut rekod Jabatan Pertanian sehingga 31 Mei 2012 terdapat 1.60 % tanah di TKPM yang tidak aktif atau tidak diusahakan dengan memuaskan.

    Ini adalah melibatkan keluasan sebanyak 20 hektar ( 8 peserta : TKPM Batu Arang 2 peserta, Sg Batangsi 3 peserta, Bkt Changgang 3 peserta ) daripada luas keseluruhan TKPM iaitu 1,248.95 hektar.

    Faktor yang menyebabkan kawasan berkenaan tidak aktif adalah peserta tiada komitmen untuk mengusahakan tapak tersebut. Jabatan Pertanian telah mengambil tindakan memberikan khidmat nasihat dan amaran kepada peserta projek. Sekiranya peserta berkenaan masih tidak mengusahakan tapak projek, tindakan penamatan akan dilaksanakan. Lot-lot di mana peserta telah ditamatkan akan diganti dengan peserta baru melalui proses temuduga.

  2. Apakah rancangan untuk meningkatkan prestasi TKPM?

    Jabatan Pertanian telah merancang dan melaksanakan beberapa strategi bagi meningkatkan prestasi TKPM Negeri Selangor seperti berikut:

    Menjalankan program pemantauan dan penilaian secara berjadual terhadap peserta-peserta projek TKPM melalui kaedah :

    • Penyelia TKPM mengadakan lawatan ke ladang dan memberikan khidmat nasihat teknikal pertanian kepada peserta projek.
    • Lawatan Pasukan Pakar yang terdiri daripada Pegawai-pegawai Pertanian Bahagian Pengurusan Tanah, Bahagian Perlindungan Tanaman, Bahagian Kejenteraan Pertanian dan Bahagian Hortikultur untuk mengenal pasti masalah di semua TKPM. Pasukan pakar akan memberikan khidmat nasihat teknikal yang dihadapi seperti masalah kesuburan tanah, penyakit dan perosak, pemasaran dan mekanisasi ladang.
    • Mengadakan mesyuarat pengurusan dan teknikal TKPM di peringkat daerah dan negeri yang dianggotai oleh pegawai-pegawai Jabatan Pertanian, MARDI, FAMA, Jabatan Perikanan dan Jabatan Veterinar.
    • Jabatan Pertanian telah melantik Pegawai Khas TKPM (PKT) yang berfungsi sebagai Pengurus TKPM sepenuh masa. Dengan pelantikan Pengurus TKPM ini akan menjadikan perancangan dan pelaksanaan aktiviti di TKPM lebih tersusun, sistematik dan efisien. Pengurus TKPM ini juga akan bekerjasama dengan Penyelia TKPM yang sedia ada dan Pegawai Pertanian Daerah bagi memastikan prestasi TKPM dapat ditingkatkan dengan berkesan.
    • Amalan Pertanian Baik ( APB ) akan terus diterapkan dan diamalkan di semua TKPM. Melalui APB semua aspek pengurusan projek pertanian yang baik seperti pelan business, pelan tindakan, penggunaan varieti tanaman yang bermutu, amalan teknologi moden, penggunaan racun perosak terkawal dan amalan pasca tuai akan dilaksanakan secara total. Pengiktirafan melalui Skim Amalan Ladang Malaysia ( SALM ) bagi semua peserta TKPM akan terus ditingkatkan dari masa ke semasa.
    • Dalam aspek pemasaran Jabatan Pertanian telah mengadakan kerjasama dengan FAMA dan menggalakkan peserta TKPM untuk memasarkan hasil pertanian melalui Program Ladang Kontrak. Ini adalah untuk memastikan hasil pertanian yang dikeluarkan dari TKPM adalah bermutu tinggi, segar dan selamat untuk pengguna dan mendapat harga yang premium.
    • Jabatan Pertanian akan meneruskan usaha bagi membina dan menyelenggara kemudahan infrastruktur seperti jalan-jalan ladang, sistem perparitan dan pusat pengumpulan ladang bagi meningkatkan kemudahan asas dan prestasi peserta TKPM. Penggunaan mekanisasi ladang yang berteknologi tinggi juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi TKPM. Salah satu projek berteknologi tinggi iaitu Sistem Penanaman Secara Fertigasi yang telah dilaksanakan di TKPM telah memberikan hasil dan impak yang sangat baik kepada peserta TKPM.
  3. Apakah tindakan yang diambil untuk pengusaha TKPM Ulu Yam?

    TKPM Hulu Yam yang mengandungi 37 pengusaha dan keluasan 220.36 hektar telah berjaya mengeluarkan hasil sayuran ( kangkong, sawi, bayam ) sebanyak 50 metrik tan sehari dan dipasarkan di Pasar Borong Selayang dan sekitar Lembah Kelang.

    Purata pendapatan bersih bulanan pengusaha adalah lebih RM5,000 sebulan. Jabatan Pertanian pada setiap masa sentiasa memantau kemajuan projek, menyelenggara kemudahan infrastruktur ladang dan memberikan khidmat nasihat teknikal pertanian kepada para pengusaha. Aspek pemasaran juga diberikan perhatian dengan menggalakkan pengusaha menyertai Program Ladang Kontrak dan Program 3 P dengan kerjasama FAMA.

    Selain itu pengusaha juga diberikan bimbingan dan galakan untuk menyertai program pensijilan Skim Amalan Ladang Malaysia ( SALM ) yang mengiktiraf bahawa pengusaha telah mengamalkan Amalan Pertanian Baik ( APB ).

    Dari aspek masa hadapan TKPM Hulu Yam, Kerajaan Negeri Selangor telah memberi jaminan bahawa kawasan tersebut akan dikekalkan sebagai kawasan kekal pengeluaran agro makanan.

Lampiran

Tiada Lampiran.