Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
148) TINDAKAN TERHADAP SUAMI YANG TIDAK MEMBERI NAFKAH KEPADA ISTERI DAN KELUARGA
Tahun: 2024
Sesi: 1
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Selain melalui pendekatan undang-undang, apakah tindakan atau pendekatan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama Islam dalam membendung masalah suami tidak memberi nafkah isteri dan keluarga?
Antara usaha yang dilaksanakan JAIS dalam membendung isu suami tidak memberi nafkah kepada isteri dan keluarga adalah seperti berikut:
- Mengadakan siri penerangan hak-hak dan tanggungjawab suami isteri dalam rumahtangga serta penekanan kepada isu nafkah kepada isteri dan anak-anak mengikut kemampuan suami serta dapat memenuhi keperluan orang yang dinafkahi. Forum, diskusi, webinar, seminar, kursus, sembang santai dan multaqa adalah antara siri penerangan yang dilaksanakan.
- Sesi khidmat nasihat kekeluargaan kepada pasangan yang ingin mendapatkan khidmat nasihat berkaitan masalah yang timbul dalam rumahtangga, termasuk isu nafkah. Pasangan akan diterangkan dengan prinsip hak dan tanggungjawab serta keutamaan dalam pelaksanaanya. Pasangan juga akan diberikan maklumat berkaitan perkhidmatan bantuan guaman syari’e yang disediakan oleh kerajaan negeri atau persekutuan, antaranya perkhidmatan oleh Unit Guaman Syarie, Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Bantuan Guaman sekiranya memerlukan tindakan lanjut bagi tuntutan nafkah ke Mahkamah Syariah.
- Bimbingan mengenai permohonan yang bersesuaian di Mahkamah Syariah.
- Bimbingan melalui poster dan infografik berkaitan nafkah dan pelaksanaannya melalui media sosial Jabatan. Begitu juga tips-tips berkaitan pengurusan kewangan yang sangat berkait rapat dengan pelaksanaan nafkah turut diberikan.
-
Sejauh mana keberkesanannya?
Keberkesanan terhadap usaha yang dilakukan oleh JAIS boleh dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa. Peningkatan kepercayaan kepada jabatan boleh dilihat melalui meningkatnya jumlah pelanggan yang hadir ke jabatan bagi mendapatkan khidmat nasihat atau menghadiri program-program yang dianjurkan bagi menmabah pengetahuan, membuka minda masyarakat serta membangunkan masyarakat ke arah insan rabbani.
Program anjuran jabatan juga diadakan secara bersemuka atau secara online melalui pelbagai platform, antaranya google meet, zoom, fb live.
Statistik Aduan Kekeluargaan bagi tahun 2018 sehingga 2023 menunjukkan trend tidak konsisten di mana jumlah aduan pada tahun 2018 adalah tinggi sebelum menurun pada tahun 2019 dan kembali meninggakt untuk 2 tahun kemudian. Trend peningkatan ini adalah disebabkan berbagai isu yang timbul disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun tersebut dan pasca PKP. Namun, statistik pada tahun 2023 menunjukkan penurunan yang sangat ketara seperti Jadual 1 di bawah.
Nota :
KNU – Khidmat Nasihat Umum : Medium diterima melalui panggilan telefon, email, surat dan whatsapp
AK – Aduan Kekeluargaan : Medium diterima melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia di mana pasangan akan menerima tarikh untuk sesi rundingcara
Statistik permohonan tuntutan nafkah di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor bagi tahun 2018 hingga 2023 menunjukkan penurunan pada tahun 2020 hingga tahun 2022 dan meningkat semula pada tahun 2023, khususnya penurunan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berbagai fasa bermula 18 Mac 2020 hingga Disember 2022. Statistik permohonan tuntutan nafkah bermula 2018 sehingga 2023 adalah seperti Jadual 2 di bawah.
-
Apakah program yang berimpak tinggi?
Pada dasarnya program-program yang dianjurkan oleh JAIS dapat memberi kesan kepada masyarakat melalui maklumbalas positif yang diterima daripada peserta yang mengikuti program tersebut. Antara program yang telah dilaksanakan iaitu:
- Skuad Infomasi Kekeluargaan : Nikah, Cerai dan Rujuk
Tujuan program dilaksanakan adalah memberikan pendedahan dan hebahan meluas berkaitan hukum hakam dan perundangan yang terlibat dalam urusan kkeluargaan bermula dari aspek perkahwinan, disusuli perceraian dan ruju’. Perkongsian kes-kes yang diuruskan oleh jabatan turut dikongsi sebagai teladan kepada masyarakat awam, selain pendedahan berkaitan akibat atau kesan pelanggarannya.
Kesan : Masyarakat akan lebih faham mengenai undang-undang keluarga Islam di Negeri Selangor dan peraturan-peraturan yang lain untuk keharmonian ummah.
2. Seminar Keluarga Bahagia : “Healing Sampai Syurga”
Tujuan program dilaksanakan adalah untuk memberi kefahaman dan penekanan ‘ad-din’ kepada masyarakat dalam pembentukan institusi sebuah keluarga untuk manfaat dunia dan akhirat.
Kesan: Memberi kesedaran kepada peserta bahawa pendidikan itu bermula dari institusi keluarga yang harmoni untuk menghasilkan masyarakat yang prihatin dan penyayang.
3. Kursus Pasca Perkahwinan Islam. Dilaksanakan mengikut 4 fasa berdasarkan tempoh perkahwinan iaitu Fasa Bulan (usia perkahwinan 0 hingga 5 tahun), Fasa Sehati Sejiwa (usia perkahwinan 6 hingga 10 tahun), Fasa Semarak Kasih (usia perkahwinan 11 hingga 20 tahun) dan Fasa Syurga Cinta (usia perkahwinan 21 tahun ke atas).
Tujuan program dilaksanakan adalah untuk mengukuhkan keharmonian rumahtangga dan kasih sayang, memberi panduan dan tips bagi mengatasi konflik di dalam rumah tangga serta meningkatkan pelbagai kemahiran yang relevan agar perkahwinan yang dibina dapat berkekalan hingga ke akhir hayat.
Kesan : Peserta dapat menambah nilai dan memperkukuhkan hubungan suami isteri yang harmoni dalam membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah.
4. Seminar Wanita Unggul ”Dirimu Begitu Berharga”
Tujuan program dilaksanakan adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan para wanita dan isteri berkaitan pengurusan kewangan, kesihatan dan menjelaskan literasi undang-undang hak wanita dari sudut syariah.
Kesan : Meningkatkan kefahaman para wanita dan isteri berkaitan pengurusan kewangan, kesihatan dan literasi undang-undang hak wanita dari sudut syariah.
5. Webinar Pasca Perkahwinan Islam “Culas Tanggungjawab : Apa Kesannya?”
Tujuan program dilaksanakan adalah untuk memberi kefahaman jelas kepada suami dan isteri berkaitan tanggungjawab selepas perkahwinan dan kesan pengabaian tanggungjawab suami isteri di dalam perkahwinan.
Kesan : Peserta dapat mengenalpasti punca-punca berlakunya pengabaian tanggungjawab sama ada di pihak suami mahupun isteri seawal usia perkahwinan.