Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
84) TINDAKAN TERHADAP KAKITANGAN AWAM YANG DISIASAT
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan lanjut yang diambil terhadap kakitangan awam yang disyaki terlibat dengan kegiatan salah laku dan sedang disiasat oleh SPRM seperti kakitangan PDT Klang dan MBDK baru-baru ini?
Untuk makluman Yang Berhormat Pelabuhan Klang, bagi pegawai lantikan Persekutuan, tatacara tindakan penahanan kerja dan penggantungan kerja adalah di bawah peraturan 43, 44 dan 45, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Bagi pegawai lantikan Kerajaan Negeri Selangor, tatacara tindakan penahanan kerja dan penggantungan kerja adalah di bawah Peraturan 44 dan 45, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995. Manakala bagi pegawai lantikan Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor, tatacara penahanan kerja dan penggantungan kerja adalah di bawah Peraturan 53, 54 dan 55, Kaedah-Kaedah Pegawai Pihak Berkuasa Tempatan (Kelakuan dan Tatatertib) 2022.
-
Bagaimana Kerajaan Negeri memastikan kejadian serupa tidak berulang pada masa hadapan?
Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil beberapa langkah pencegahan bagi memastikan isu berkenaan tidak berlaku di PDT, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jabatan Kerajaan yang lain. Antara tindakan yang telah dan akan diambil adalah seperti berikut :
- Tindakan Disiplin terhadap Pegawai Terlibat:
Pegawai yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam sebarang pelanggaran peraturan akan dikenalpasti untuk dikenakan tindakan tatatertib yang sewajarnya berdasarkan peraturan-peraturan di bawah bidang kuasa masing-masing.
- Program Taklimat dengan usahasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM):
Kerajaan Negeri Selangor akan bekerjasama dengan SPRM dalam usaha membanteras gejala rasuah melibatkan kakitangan di kesemua Pejabat Daerah dan Tanah. Antaranya adalah termasuk mengadakan taklimat dan seminar berkaitan pencegahan rasuah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penjawat awam serta hukuman – hukuman yang bakal dikenakan sekiranya terbabit rasuah.
- Program Peningkatan Kesedaran Integriti :
Memperbanyakkan program seperti Seminar Integriti yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak untuk memupuk nilai integriti dalam kalangan kakitangan awam khususnya di Pejabat Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan.
- Pelaksanaan Pusingan Kerja (Job Rotation) :
Selaras dengan saranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), setiap Ketua Jabatan bertanggungjawab untuk melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai yang memegang sesuatu jawatan dalam tempoh yang lama terutama bagi jawatan sensitif. Langkah ini bertujuan mengurangkan risiko rasuah dan salah guna kuasa dengan memastikan pegawai tidak terlalu lama berada dalam satu posisi yang mungkin membuka peluang kepada amalan tidak beretika. Ketua Jabatan yang gagal melaksanakan pusingan kerja boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah peraturan yang ditetapkan.
Melalui langkah-langkah ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Unit Integriti akan berusaha untuk memastikan integriti dan profesionalisme dalam apa jua pengurusan di setiap jabatan khususnya Pejabat Daerah dan Tanah Serta Pihak Berkuasa Tempatan, serta mencegah berulangnya insiden tersebut.