Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
17 Ogos - 20 Ogos 2015
245) TINDAKAN TATATERTIB
Tahun: 2015
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan tatatertib yang boleh dikenakan kepada kakitangan yang meluluskan pembayaran kepada kontraktor yang tidak siap kerjanya dengan sempurna?
Penjawat awam yang didapati telah meluluskan pembayaran kepada kontraktor yang tidak siap kerjanya dengan sempurna boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana melanggar Peraturan 4(2)(e) dan 4(2)(j), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan Dan Tatatertib) 1995 yang menyatakan:
“4(2) Seseorang pegawai tidak boleh –
(e) kurang cekap atau kurang berusaha
(j) cuai dalam melaksanakan tugas-tugasnya”
Bagi penjawat awam yang didapati bersalah, Lembaga Tatatertib boleh menjatuhkan mana-mana satu atau apa-apa gabungan dua atau lebih hukuman di bawah Peraturan 38, Peraturan- Peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan Dan Tatatertib) 1995 berikut:
- amaran
- denda
- lucut hak emolumen
- tangguh pergerakan gaji
- turun gaji
- turun pangkat
- buang kerja
Selain daripada tindakan tatatertib, penjawat awam tersebut juga boleh dikenakan tindakan surcaj mengikut Akta Prosedur Kewangan 1957 berdasarkan perakuan yang dibuat oleh Pihak Berkuasa Kewangan (Perbendaharaan).
Tindakan surcaj adalah tindakan mengutip balik wang atau nilai wang bagi harta kerajaan yang hilang atau yang tidak dapat dikutip yang dikenakan terhadap penjawat awam yang bertanggungjawab ke atas perkara itu kerana kecuaiannya, kelalaiannya atau tindakannya yang kurang berhati-hati.
-
Berapa kakitangan PBT dan Negeri yang telah dikenakan tindakan tatatertib atau dipecat dari 2008 hingga kini?
Statistik menunjukkan bahawa sejak 2008 sehingga pertengahan tahun 2015, seramai 900 orang penjawat awam di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor telah dikenakan hukuman/tindakan tatatertib. Daripada jumlah tersebut, seramai 659 orang adalah kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan. Berdasarkan statistik, 307 orang penjawat awam telah dikenakan hukuman buang kerja/ditamatkan perkhidmatan, 4 orang dikenakan tindakan surcaj, 7 orang diturunkan pangkat, 93 orang diturunkan gaji, 115 orang ditangguhkan pergerakan gaji, 154 orang dilucutkan hak emolumen, 69 orang dikenakan denda dan 422 orang telah diberi
Di antara kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh penjawat awam ini termasuklah tidak hadir bertugas tanpa kebenaran, terlibat dalam kes dadah, kes rasuah, kes mahkamah, gangguan seksual, membuat pekerjaan luar tanpa memohon kebenaran daripada Ketua Jabatan, menyalahgunakan kedudukan rasmi untuk kepentingan peribadi serta lain-lain kes pelanggaran tatakelakuan seperti tidak jujur dan tidak amanah, tidak bertanggungjawab, ingkar perintah dan cuai dalam melaksanakan tugas.