Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

82) TINDAKAN PEMUTIHAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah sebarang tindakan pemutihan di kawasan (reserve ROW) sungai kerana terdapat banyak jajaran 'reserve' sungai di ceroboh dan di bina rumah kediaman? (Membuatkan sungai menjadi sempit dan terhad kawasannya. (Ia adalah salah satu punca banjir di kampung Bukit Lanchong)

    Kerajaan Negeri Selangor komited dalam menyelesaikan isu pemutihan dan penguatkuasaan yang berkaitan dengan pencerobohan khususnya rumah setinggan yang didirikan di atas tanah Kerajaan (simpanan sungai).

    Perkara ini selari dengan arahan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Ke 14/2021 bertarikh 14 April 2021 yang telah bersetuju agar satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan dan diurusetiakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor melalui Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan bagi menyediakan garis panduan khas berkaitan pemutihan tapak-tapak perniagaan, tapak penjaja, kilang haram dan rumah setinggan serta menyelesaikan kesan sampingan yang perlu diberi perhatian apabila tindakan penguatkuasaan dijalankan.

    Terdapat tiga (3) contoh kes isu pemutihan dan penguatkuasaan rumah setinggan yang berjaya dan bakal dilaksanakan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) iaitu di Sungai Pelempas, Sungai Kedondong dan Sungai Subang yang berada di dalam Dun Paya Jaras. Penyelesaian bagi ketiga-tiga projek ini melibatkan penawaran Rumah Selangorku, penawaran zakat, skim bantuan kebajikan dan bayaran ex-gratia kepada semua penduduk rumah setinggan. Kerajaan Negeri Selangor menanggung implikasi kewangan sebanyak RM588,000.00 bagi penyelesaian penuh sebelum tindakan penguatkuasaan berjaya dilaksanakan.

    Bagi rumah setinggan yang wujud di Kampung Bukit Lanchong, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling bersama pihak JPS dalam tindakan penyelesaian untuk melengkapkan inventori dan mengenalpasti struktur-struktur yang menghalang pelaksanaan projek-projek melibatkan penyelenggaraan / pembinaan RTB. Sebarang tindakan pemutihan dan penguatkuasaan akan dilaksanakan secara bersepadu oleh agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan setelah mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.