Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

44) TINDAKAN MAHKAMAH KEPADA SYARIKAT YANG MENCEMAR SUNGAI SEMENYIH

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status tindakan mahkamah terhadap syarikat-syarikat atau individu yang didapati mencemar Sungai Semenyih yang telah menyebabkan kekerapan gangguan air pada tahun 2015?

    Pada bulan Mac tahun 2015, berdasarkan siasatan penguatkuasaan yang telah dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor mendapati sebuah kilang di Lembangan Sungai Langat yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Purun, Semenyih telah mencemarkan kualiti air Sungai Semenyih dan menyebabkan henti tugas operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih serta gangguan bekalan air kepada pengguna. Tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan menahan kelengkapan kilang tersebut daripada beroperasi selama 2 minggu bagi tempoh 1 April hingga 14 April 2015. Kilang tersebut seterusnya berhenti operasi apabila pihak Majlis Perbandaran Kajang telah membatalkan lesen perniagaannya pada 14 April 2015.

     

    Pencemaran kualiti air Sungai Langat juga berpunca daripada aktiviti lain seperti pembuangan sampah sarap, aktiviti kerja tanah, pelepasan kumbahan, aktiviti perniagaan dan komersil, bengkel, restoran, pasar basah, aktiviti perlombongan pasir dan penternakan.

     

  2. Nyatakan agensi berkaitan yang bertanggungjawab melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pencemaran di sungai-sungai dan sejauh mana ia dilaksanakan.

    Program pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pencemaran di sungai- sungai dilaksanakan secara konsep Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai atau “Integrated River Basin Management (IRBM)” di Lembangan Sungai Selangor, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Kelang oleh agensi-agensi seperti Lembaga Urus Air Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Tanah, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Veterinar dan Jabatan Alam Sekitar. Fokus diberi kepada melindungi sumber bekalan air dan Loji Rawatan Air yang sering

     

    menerima kesan akibat pencemaran dari pelbagai sumber seperti industri, tapak pelupusan sampah, aktiviti kerja tanah, pelepasan kumbahan dan sebagainya. Selain itu, usaha penjagaan dan pemuliharaan sumber air dipantau dan dikuatkuasakan melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

     

    • Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai;
    • Pasukan Petugas Lembangan Sungai; dan
    • Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber

Lampiran

Tiada Lampiran.