Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016
237) TINDAKAN KERAJAAN MEMBANTU RAKYAT TERBEBAN GST
Tahun: 2016
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan kerajaan negeri bagi membantu rakyat mengatasi beban kewangan rakyat dengan memberi ilmu kepenggunaan yang tinggi?
Kerajaan Negeri prihatin dan peduli tentang rakyat yang terbeban Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Sewaktu GST mula diperkenalkan pada tahun 2014, beberapa taklimat kesedaran dan pengenalan GST serta program berkaitan GST telah dilaksanakan bagi mendidik dan memberi penerangan kepada pengguna, peniaga, Pihak Berkuasa Tempatan dan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor. Senarai program dan taklimat yang telah diadakan adalah seperti berikut:
Bil. Tarikh Perkara Tempat 1. 1 Julai 2014
Program Taklimat Cukai GST Peringkat Negeri Selangor Auditorium Bangunan Annex, SUK Selangor 2. 8 Julai 2014
Taklimat GST untuk PBT & Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Auditorium Bangunan Annex, SUK Selangor
3. 25 Sept 2014
Program Pendaftaran GST untuk PBT & Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Foyer, Bangunan SUK Selangor Selain itu, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa tindakan bagi mengurangkan beban rakyat, antaranya mengecualikan beberapa cukai melibatkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana iaitu cukai taksiran bagi rumah kos rendah, rumah kampung serta fi lesen penjaja kecil dan pasar malam pada tahun 2016.
Di samping itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan program-program bagi membantu mengurangkan beban rakyat untuk menjalani kehidupan seharian. Sebagai contoh Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah melaksanakan program Jom Shopping kepada individu yang telah dikenalpasti untuk menerima bantuan baucer perayaan sebanyak RM100.00 bagi setiap keluarga yang layak mengikut perayaan kaum.
Kerajaan Negeri juga turut menyediakan bantuan-bantuan lain melalui jawatankuasa-jawatankuasa tetap Negeri Selangor seperti bantuan peralatan, bina semula atau baik pulih, dana usahawan dan sebagainya kepada golongan yang layak menerima bantuan untuk membantu mereka menjana pendapatan sendiri untuk jangka masa yang panjang.
Manakala, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna pula melaksanakan program pendidikan GST kepada pengguna melalui Program Jelajah Kepenggunaan sejak tahun 2014 lagi di peringkat PBT Negeri Selangor. Program ini melibatkan pelbagai acara seperti ceramah dan kempen-kempen kepenggunaan Negeri Selangor, sesi soal jawab berhubung GST serta pameran dari pelbagai agensi. Program ini turut melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Kastam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Pejabat Tanah dan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Institusi Kewangan dan program-program merakyatkan ekonomi Negeri Selangor (MES).