Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012

32) TIADA PROJEK MEGA DALAM NEGERI SELANGOR

Tahun: 2012

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah projek mega telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri setelah menerajui pemerintahan negeri mulai 8 Mac 2008 ?

    Terdapat pendekatan yang jauh berbeza dari pendekatan pentadbiran BN yang lebih mengutamakan projek-projek mega walaupun terpaksa berhutang atau mengambil rakan kongsi dengan mengikat perjanjian yang merugikan kerajaan Negeri dan rakyat. Dasar yang sama juga telah mengakibatkan ratusan projek perumahan terbengkalai serta ribuan ekar tanah negeri tergadai.

    Pentadbiran Pakatan Rakyat negeri Selangor memperkenalkan konsep yang asing bagi BN iaitu perbelanjaan berhemah dengan keutamaan diberikan kepada kebajikan rakyat melalui program seperti pemberian air percuma bagi 20 meter padu pertama, Skim Mesra Usia Emas, Hadiah Anak Masuk Universiti serta Skim Mikro Kredit yang melibatkan perbelanjaan tidak kurang dari RM592,909,645 sehingga Disember 2011.

  2. Apakah status Projek Pembersihan Sungai Klang diwar-warkan oleh kerajaan negeri ?

    Projek Pemuliharaan dan Pembangunan merupakan satu projek awam yang akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta melalui Public/Private Partnership (PPP) atau Private Financing Initiative (PFI) di mana Syarikatsyarikat yang telah di senarai pendek akan membiayai kos pemuliharaan dan pembersihan sungai dan sebagai balasan, mereka perlu mengemukakan cadangan pembangunan untuk pertimbangan kerajaan negeri Selangor.

    Setakat ini, 3 syarikat telah di senarai pendek oleh Kerajaan Negeri untuk terlibat dengan projek ini pada kapasiti yang berbeza. Syarikat-syarikat tersebut ialah:-

    • TSS-MAKO Engineering Sdn. Bhd.
    • I Berhad/Grahamtek Consortium
    • GJA Engineering & Construction Sdn. Bhd.

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat melalui Projek ‘River of Life’ bagi menjamin synergy yang lebih baik serta mengelakkan sebarang pertindihan melalui keanggotaan dalam Jawatankuasa Pemandu ‘Greater KL/Klang Valley’.

    Selain itu, melalui Sub-Task Force Pembersihan Sungai di bawah Projek River of Life yang dipimpin oleh JPS, sebagai permulaan sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan kepada Selangor di mana MPAJ sebagai agensi pelaksana akan membina Sistem Rawatan Air di salur keluar sistem perparitan utama ke Sungai Klang di Taman Melawati, Hulu Klang, Daerah Gombak Selangor bagi pengawalan mutu air. Projek tersebut dijangka disiapkan pada penghujung Mac 2012.

    Pada bulan Ogos 2011, Jawatankuasa Projek telah dimantapkan dengan pelantikan gabungan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, golongan profesional, penjawat awam yang dipengerusikan oleh YM Raja Idris dari Kumpulan Perangsang Selangor (KPS).

    KPS sedang merangka Memorandum Kesefahaman dengan China Construction Engineering Corporation yang berminat untuk memajukan projek ini dan akan menjalankan ‘Feasibility Study’ bagi pemuliharaan dan rawatan Sungai Klang sebelum melabur bagi menjayakan projek ini. Kajian ini akan dijalankan dengan usaha sama universiti tempatan bagi pemindahan kepakaran.

    Selain urusan pelaburan, dari sudut pihak agensi kerajaan negeri pula, Kajian Lapangan serta Inventori terperinci Guna tanah telah selesai dilakukan. Sedang disediakan ialah Pelan Tindakan Bersepadu Pihakpihak Berkepentingan, Penyelarasan Laporan Tanah Rizab Sungai Klang dan Isu-isu Tanah (Penguatkuasaan) serta penyelarasan Sistem Saliran/ Discharge yang mengalir ke Sungai Klang.

Lampiran

Tiada Lampiran.