Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
106) THE ASHER
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Maklumat dan aduan telah diterima berkenaan dengan masalah pematuhan undang-undang alam sekitar berkenaan dengan mesin The Asher yang telah digunakan di beberapa PBT di Selangor. Apakah respons kerajaan terhadap aduan dan tuduhan ini?
Mesin The Asher adalah salah satu altenatif dalam melupuskan sisa yang berskala kecil dan diletakkan di lokasi pusat kitar semula atau di pasar awam bagi melupuskan sisa melalui kaedah pembakaran sisa sehingga menjadi abu. Dalam perkara ini, pihak Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) telah mengambil inisiatif dengan meletakkan mesin ‘Ecowaste Asher’ di Pasar Awam Banting bagi melupuskan sisa-sisa pasar seperti ikan, ayam, daging, sayur-sayuran atau buah-buahan yang telah rosak untuk dilupuskan berbanding dihantar terus ke tapak pelupusan. Abu yang terhasil daripada pelupusan tersebut akan disimpan oleh pihak MPKL untuk digunakan sebagai baja pokok dan lanskap.
Sebagai langkah berjaga-jaga, MPKL juga telah mengambil inisiatif dengan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai penggunaan mesin ini.
Suatu kajian penilaian keberkesanan teknologi pengurusan sisa pepejal menggunakan Anaerobic Digester dan Asher telah diadakan pada 7 Jun 2022.
Hasil kajian menunjukkan kepekatan skala bagi empat (4) jenis gas yang telah melebihi had garis panduan dalam Jadual Ketiga (Peraturan 13), Jadual K di bawah Peraturan Udara Bersih 2014 terbitan Jabatan Alam Sekitar.
Oleh yang demikian, bagi menyelesaikan isu ini, MPKL telah mengemukakan surat permohonan maklum balas dan tindakan lanjut daripada pihak JAS. Pada 6 Julai 2022, pihak MPKL difahamkan bahawa JAS telah mengadakan satu sesi pertemuan bersama dengan beberapa agensi dan syarikat pengeluar mesin The Asher tersebut bagi menangani isu yang timbul supaya ia tidak mendatangkan kesan alam sekitar pada masa akan datang.
Syarikat pengeluar mesin The Asher telah diarahkan untuk menambah baik kesan penggunaan mesin tersebut dan pihak JAS akan memaklumkan perkembangan kepada pihak MPKL untuk pertimbangan lanjut berhubung penggunaannya.