Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
342) TESLA DI SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pelaburan
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan status kemasukan syarikat Tesla ke Selangor.
Sebagai makluman, syarikat Tesla telah membuka Tesla Center di Cyberjaya pada 2/10/2023. Ianya merangkumi pejabat, ruang pameran, pusat khidmat pelanggan dan pusat latihan. Selain itu, Tesla juga telah melancarkan Tesla Supercharger di Sunway Pyramid baru-baru ini dalam usaha untuk menambah bilangan Stesen Caj Tesla di negeri Selangor.
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dan bergaji tinggi dengan kemasukan Tesla?
Secara dasarnya, kemasukan Tesla ke Negeri Selangor secara langsung menggalakkan permintaan pasaran bagi Kenderaan Elektrik (EV) disamping sebagai pemangkin kepada pengeluar Kenderaan Elektrik (EV) yang lain untuk memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan atau pasaran bagi produk keluaran mereka.
Selain itu, permintaan pasaran Kenderaan Elektrik (EV) yang semakin berkembang di Selangor akan mewujudkan keperluan kepakaran teknikal bagi penyelenggaraan Kenderaan Elektrik (EV) dan juga mewujudkan rantaian bekalan (supply chain) dalam industri Kenderaan Elektrik (EV).
Berdasarkan senario ini, Kerajaan Negeri akan meninjau dan mengenalpasti program – program latihan kemahiran yang bersesuaian untuk dilaksanakan dalam usaha menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran dan bergaji tinggi kepada rakyat tempatan.
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan terdapat "knowledge and technology transfer" melalui kemasukan Tesla?
Kerajaan Negeri akan meneroka peluang kerjasama yang boleh dilaksanakan dengan pemain industri EV dan pemain teknologi yang berkaitan berkenaan penawaran pakej program latihan dalam usaha untuk memastikan terdapat “knowledge and technology transfer” kepada rakyat tempatan.