Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
239) TENAGA YANG BOLEH DIPERBAHARUI
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah projek tenaga yang boleh diperbaharui (RENEWABLE ENERGY) yang sedang berjalan di negeri Selangor?
Bagi mencapai persekitaran yang berkualiti, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Pemasangan Panel Solar Di Bangunan-Bangunan Kerajaan Negeri Selangor iaitu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan 9 buah bangunan di setiap Pejabat Daerah/Tanah di Negeri Selangor. Perjanjian (Supply Agreement) – Renewable Energy (SARE) melibatkan Kerajaan Negeri Selangor, GSPARX Sdn. Bhd. dan Tenaga Nasional Berhad dan pemasangan panel solar ini di bawah skim Solar Energy Purchase (SEP) dengan tempoh kontrak yang telah dipersetujui selama 15 tahun dengan kadar penjimatan yang lebih tinggi.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah memberikan kelulusan pembangunan Ladang Solar Selangor (LSS) di Ladang Bukit Kerayong, Klang kepada syarikat Sharp Ventures Sdn. Bhd.
-
Berapakah projek tenaga yang boleh diperbaharui yang bakal diluluskan di Selangor untuk tahun 2022-2023?
Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 21/ 2021 yang diadakan pada 16 Jun 2021 bersetuju agar semua Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri mempergiatkan usaha pemasangan bumbung solar dan merebut peluang yang diperkenalkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan kadar segera.
MMKN turut bersetuju agar pemasangan bumbung solar dilaksanakan kepada premis-premis tersebut dengan melantik sendiri pembekal yang tersenarai dan diperakui oleh SEDA Malaysia seperti berikut:
- Bangunan Utama Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri;
- Bangunan milik Pihak Berkuasa Tempatan termasuk Dewan, Stadium dan Gerai Majlis;
- Surau dan Masjid;
- Sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor; dan
- Kawasan Parkir Kenderaan di bawah kelolaan Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri.
-
Apakah rancangan Kerajaan untuk menggalakkan lebih projek seperti ini bertapak di Selangor?
Large Scale Solar (LSS) merupakan program penjanaan tenaga solar berskala besar untuk mempercepat kapasiti penjanaan RE. Pada tahun 2020, tawaran kitaran bidaan keempat (LSS4) di bawah Program LSS@MEnTARI atau Program Large Scale Solar by Malaysian Electricity Industry to Attract RE Investment telah dibuka dengan menyasarkan kapasiti berjumlah 1,000 Mwac.
Justeru, Kerajaan Negeri Selangor menyediakan platform untuk menggalakkan lebih banyak projek solar melalui Perancangan Ladang Solar Negeri Selangor sebagai satu inisiatif dalam memastikan pembangunan lading solar berskala besar dilaksanakan secara terancang dan terkawal. Selain itu, projek ini akan mengekalkan keharmonian persekitaran dan sekaligus dapat merealisasikan agenda negara yang mensasarkan tenaga elektrik yang dijana di Malaysia adalah 20 peratus daripada tenaga boleh diperbaharui pada tahun 2025.