Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
9) TENAGA SOLAR
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penggunaan tenaga solar di Selangor?
Inisiatif Kerajaan Negeri untuk menggalakkan penggunaan tenaga solar adalah seperti berikut:
- Memasang panel solar di bumbung-bumbung bangunan/premis Jabatan dan Agensi Negeri seperti bangunan utama Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri, bangunan milik Pihak Berkuasa Tempatan seperti stadium, medan selera, masjid, bangunan sekolah di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kawasan parkir kenderaan di bawah seliaan Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri.
- Menyokong dan menggalakkan pelaburan teknologi rendah karbon dan pembangunan hijau di Negeri Selangor yang diperkenalkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Selangor menerusi projek-projek solar;
- Mengenal pasti dan menyokong permohonan-permohonan untuk membina ladang solar (solar farm) berskala besar, terutamanya di kolam terbiar, bagi menghasilkan tenaga boleh baharu dalam usaha menangani isu perubahan iklim; dan
- Menggalakkan penggunaan aplikasi teknologi hijau seperti penggunaan lampu jalan solar berspesifikasi tinggi dan mempunyai pencahayaan yang baik melalui penyediaan dana peruntukan yang khusus.
-
Bagaimana Kerajaan Negeri menyokong pemasangan dan penggunaan sistem solar di rumah-rumah dan perniagaan?
Kerajaan Negeri Selangor, melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), telah mewujudkan Program Inisiatif Bangunan Hijau Ke Arah Kesejahteraan Bandar (Green Initiative Program Towards Urban Well-Being) untuk menyokong pemasangan dan penggunaan sistem solar di rumah-rumah dan perniagaan. Program ini merangkumi pelbagai inisiatif, termasuk pemasangan lampu LED di pangsapuri dan sistem solar.
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama pintar (smart partnership) antara LPHS dan syarikat swasta, melalui Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai pada 7 Februari 2022. Salah satu kelebihan utama program ini adalah pendekatan Zero Capex (kos modal sifar), di mana tiada kos permulaan dikenakan kepada penghuni atau perniagaan untuk pemasangan sistem solar.
Kerajaan Negeri Selangor tetap komited untuk menjayakan program ini kerana konsep Bangunan Hijau adalah sebahagian daripada usaha ke arah kelestarian (sustainability) yang menekankan kepentingan penggunaan sumber alam secara lestari (natural resources sustainability) serta mampu mengurangkan penggunaan tenaga elektrik. Dengan inisiatif ini, Kerajaan Negeri berharap dapat mencapai kesejahteraan bandar yang lebih baik melalui penggunaan teknologi hijau dan tenaga yang lebih efisien.
-
Apakah projek infrasturktur tenaga yang sedang dan akan dijalankan di Selangor untuk meningkatkan kecekapan dan kestabilan bekalan tenaga?
Kerajaan Negeri Selangor melalui inisiatif strategik bersama-sama dengan anak Syarikat Kerajaan Negeri seperti Worldwide Holdings Berhad (WHB), merangka dan melaksanakan pelbagai projek tenaga yang bertujuan meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik negeri ini sehingga tahun 2032. Projek ini merangkumi Tenaga Tidak Boleh Baharu, Tenaga Boleh Baharu, Tenaga Lestari dan Tenaga Baharu.
Antara projek infrastruktur tenaga yang sedang dan akan dilaksanakan di Selangor antaranya seperti berikut:
- Pulau Indah Power Plant;
- Kuala Langat Power Plant;
- Large Scale Solar di Bernam Jaya dan Bestari Jaya;
- Landfill Gas Plant di Jeram Sanitary Landfill, Kuala Selangor dan;
- Waste to Energy di Jeram Sanitary Landfill, Kuala Selangor dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat; dan
- Small Hydropower Plant di sekitar sungai-sungai Selangor.