Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

278) TENAGA SOLAR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri akan memasangkan solar pada bangunan kerajaan bagi mengurangkan kos serta menukar kepada tenaga hijau?

    Ketika dunia menyahut seruan penggunaan ‘tenaga yang lebih mampan’ dan ‘kurang karbon’, Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) telah muncul sebagai salah satu sumber penjanaan tenaga yang paling cepat berkembang. RE dijangka menjadi sumber tenaga terbesar pada tahun 2040.

    Kerajaan Negeri menyokong usaha untuk menjadikan tenaga boleh diperbaharui sebagai agenda negeri. Prospek pertumbuhan masa hadapan yang berkaitan tenaga akan diteroka terutama potensi tenaga baharu daripada sumber tenaga bersih dan mampan, termasuk hidrogen, angin dan solar. Sejajar dengan negara bergerak ke arah status negara maju, keperluan tenaga kita semakin lama menjadi sangat intensif. 50% daripada penggunaan tenaga di negara ini adalah dalam sektor industri, kediaman dan komersil termasuk bangunan kerajaan. Bangunan komersil dan kediaman menggunakan kira-kira 13% daripada jumlah penggunaan tenaga dan 48% penggunaan elektrik negara.

    Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan projek pemasangan solar panel di semua bangunan Kerajaan Negeri selaras dengan seruan Dasar Kerajaan Persekutuan melalui Pelan Utama Teknologi Hijau Malaysia 2017 – 2030 berhubung tenaga boleh diperbaharui. Seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat, pemasangan solar panel adalah merupakan antara kaedah alternatif yang terbaik bagi menjana sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 21/ 2021 yang diadakan pada 16 Jun 2021 bersetuju agar semua Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri mempergiatkan usaha pemasangan bumbung solar dan merebut peluang yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dengan kadar segera. Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan projek pemasangan panel solar di semua bangunan Kerajaan Negeri selaras dengan seruan Dasar Kerajaan Persekutuan melalui Pelan Utama Teknologi Hijau Malaysia 2017-2030 berhubung tenaga boleh diperbaharui.

    Antara bangunan/premis yang disyorkan adalah:

    • Bangunan Utama Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri;
    • Bangunan milik Pihak Berkuasa Tempatan termasuk Dewan, Stadium dan Gerai Majlis;
    • Surau dan Masjid;
    • Sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor; dan
    • Kawasan Parkir Kenderaan di bawah kelolaan Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri.

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Pemasangan Panel Solar Di Bangunan-Bangunan Kerajaan Negeri Selangor iaitu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) dan 9 buah bangunan di setiap Pejabat Daerah/Tanah (PDT) di Negeri Selangor. Perjanjian (Supply Agreement)Renewable Energy (SARE) melibatkan Kerajaan Negeri Selangor, GSPARX Sdn. Bhd. dan Tenaga Nasional Berhad dan pemasangan panel solar ini di bawah skim Solar Energy Purchase (SEP) dengan tempoh kontrak yang telah dipersetujui selama 15 tahun dengan kadar penjimatan yang tinggi. Status terkini pemasangan solar di Bangunan SSAAS telah siap 50% dengan kapasiti terpasang sebanyak 200kw daripada keseluruhan 500kw dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2023. Manakala di bangunan PDT, kerja-kerja pemasangan panel solar akan bermula pada April 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2023.

    Susulan daripada keputusan MMKN tersebut, Kerajaan Negeri akan terus menggalakkan semua PBT dan Jabatan/Agensi negeri untuk melaksanakan pemasangan solar di bumbung-bumbung premis bangunan melalui Program Net Energy Metering (NEM) 3.0 bagi tempoh 2021 hingga 2023 dan lain-lain program yang diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

Lampiran

Tiada Lampiran.