Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
16) TENAGA KERJA
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah cara Kerajaan Negeri bagi menyelesai isu kekurangan tenaga kerja di pelbagai industri?
Terdapat beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja dipelbagai industri dan sekaligus mengurangkan kadar pengangguran di Selangor. Antara usaha atau cara yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan adalah seperti berikut:
- Melaksanakan Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja
Kerajaan Negeri di bawah Exco Generasi Muda, Sukan & Modal Insan telah melaksanakan Program Karnival Kerjaya – Jelajah Selangor Bekerja yang merupakan satu medium interaksi yang proaktif di antara pemohon pekerjaan dengan pihak industri dalam menyediakan laluan kerjaya berdasarkan kelayakan, personaliti dan minat. Matlamat program ini juga adalah untuk membantu syarikat atau industri yang memerlukan tenaga kerja khususnya di tahap kritikal. Sekaligus untuk mengatasi kadar pengangguran di Selangor selaras dengan permintaan yang tinggi dan sambutan yang menggalakkan berikutan kadar kehilangan pekerjaan yang semakin meningkat disebabkan pandemik COVID-19.
Pada tahun 2021 sebanyak enam (6) siri program Karnival Kerjaya dilaksanakan. Penganjuran program ini di lokasi yang berbeza adalah bertujuan untuk memudahkan pemohon di kawasan berdekatan hadir ke program tersebut dengan penglibatan industri-industri dikawasan sekitar.
Pemilihan enam (6) lokasi pelaksanaan program ini adalah kerana kedudukan yang strategik, mudah diakses, mampu menampung jumlah pengunjung atau pemohon mengikut keluasan tempat dengan mematuhi SOP. Tarikh dan lokasi program seperti berikut:
TARIKH LOKASI 23 Oktober 2021 Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor 30 Oktober 2021 Stadium Tertutup, Kuala Selangor 6 November 2021 Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu 13 November 2021 Dewan Demesne, Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat 20 November 2021 Dewan Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh 27 November 2021 Dewan Jubli Perak, Pejabat SUK Selangor 2. Program Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS)
Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan inisiatif baharu melalui Program IKTISASS yang bertujuan untuk melahirkan golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belia tercicir serta berkeperluan khas dan graduan dengan memberi latihan dalam bidang kemahiran teknikal dan profesional seiring dengan keperluan industri semasa. Pada tahun 2021, di bawah Program IKTISASS telah melaksanakan Program SELatih Sure – Selatih Strategik Upskilling Reskilling dengan kerjasama Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC) yang dijangka dapat membantu menyediakan tenaga kerja mahir di Selangor untuk keperluan industri.
3. Program Selangor Kerjaya
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI juga telah mengadakan satu inisiatif baharu iaitu Program Selangor Kerjaya yang menyediakan peluang pekerjaan eksklusif untuk warga Selangor. Program ini menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan kerjaya yang berkesan dan pemohon perlu mendaftar dengan melayari laman web www.selangorkerjaya.com.my.
Kemudahan laman web ini diberi secara percuma kepada majikan yang mahu mengiklankan jawatan kosong. Manakala calon pemohon akan melalui penilaian profil serta pemadanan kerjaya tertakluk kepada pekerjaan yang diiklankan dan pemilihan tersebut akan dilakukan oleh majikan yang berdaftar sebelum penempatan kerja sebenar berlaku. Setelah penempatan kerja berlaku, calon akan diberikan latihan-latihan profesional dan akses pembelajaran atas talian selama dua belas (12) bulan.
-
Adakah sikap terlalu memilih kerja menjadi masalah kekurangan tenaga kerja?
Isu pengangguran di kalangan belia khususnya di kalangan graduan terus menjadi perdebatan sehingga kini. Isu ini lebih serius diperdebatkan semasa pandemik Covid 19 yang mencatatkan kadar pengangguran tertinggi berikutan kesan daripada krisis ekonomi dan kesihatan. Masalah kekurangan tenaga kerja di pelbagai sektor disebabkan oleh banyak faktor dan tuduhan kepada pencari kerja khususnya graduan atas sikap terlalu memilih kerja adalah tidak wajar. Namun tidak dinafikan ada segelintir yang bersikap begitu, tetapi memukul rata semua graduan memilih pekerjaan adalah tidak adil. Berikut adalah faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah kekurangan tenaga kerja di Selangor.
- Peningkatan Jumlah Institut Pengajian Tinggi di Malaysia
Lambakan graduan setiap tahun di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta semakin meningkat dan perlu bersaing untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang semakin mengecil. Institut pengajian tinggi mengeluarkan ribuan mahasiswa setiap tahun namun penempatan pekerjaan tidak sama dengan jumlah pengeluaran mahasiswa. Ini menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi di kalangan graduan. Namun begitu, berikutan krisis ekonomi dan kesihatan akibat pandemik Covid 19 telah membuktikan rakyat Malaysia khususnya rakyat Selangor sanggup melakukan apa jua pekerjaan bagi menampung keperluan diri dan keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup. Buktinya, ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru di mana peningkatan aktiviti perniagaan atas talian serta pemandu e-hailing atau penghantar makanan.
- Ketidaksepadanan Bekalan Buruh dengan Pasaran Kerja
Terdapat juga faktor ketidaksepadanan antara bekalan buruh dengan permintaan terhadap tenaga kerja di pasaran. Ini berikutan terdapat kekurangan penciptaan pekerjaan tinggi yang sesuai dengan kelayakan sedia ada. Ini menyebabkan terdapat belia yang menganggur dan bekerja di bawah kelayakan dan potensi sedia ada. Pencari kerja juga perlu meningkatkan kemahiran sedia ada untuk menampung kehendak pasaran industri terkini. Inisiatif Kerajaan Selangor melalui Program IKTISASS dan Program Selangor Kerjaya dengan menekankan konsep upskilling dan reskilling bagi mengatasi masalah ini sedikit sebanyak membantu masalah kekurangan tenaga kerja di Selangor.
iii. Tangga Gaji
Masalah tangga gaji yang rendah dan tidak sesuai dengan kelayakan sedia ada juga menyumbang kepada faktor graduan memilih pekerjaan. Contohnya, graduan Jurutera dari Jepun yang ingin bekerja di Malaysia dengan tawaran tangga gaji jurutera lebih rendah berbanding tangga gaji untuk Pegawai Khidmat Pelanggan dengan kebolehan berbahasa Jepun. Selain itu, terdapat majikan yang mengambil kesempatan untuk meletakkan tangga gaji yang rendah dengan alasan kemerosotan ekonomi negara. Dasar baharu kerajaan menetapkan tangga gaji minimum RM1,050 sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah ini. Selain itu, majikan juga dilihat lebih selesa mengambil pekerja asing, dimana bayaran upah lebih murah dan dapat mengurangkan kos operasi perniagaan. Namun begitu, pemohon pekerjaan pasca pandemik ini juga jelas sekali tidak terlalu memberi keutamaan kepada jumlah gaji yang ditawarkan. Walaupun mendapat pekerjaan dengan gaji yang tidak setimpal ia dapat memberikan platform bagi menimba pengalaman.
- Budaya Pengambilan Pekerja Berpengalaman
Majikan kerap kali mengeluarkan iklan pengambilan pekerja yang mempunyai kemahiran sekurang-kurangnya satu (1) tahun di dalam skop kerja yang sama dan masalah ini menyukarkan graduan yang baru sahaja tamat belajar untuk mendapatkan pekerjaan. Kesukaran mendapatkan pekerjaan dengan budaya ini menyebabkan graduan terpaksa bekerja sendiri seperti menjalankan perniagaan atas talian, peniaga pasar malam, penghantar makanan dan sebagainya sebelum mendapat pekerjaan yang bersusaian. Budaya ini perlu dipantau dan pihak majikan seharusnya menerima ‘fresh graduate’ dengan memberikan mereka latihan yang secukupnya bagi skop kerja tersebut.
Kita perlu akui bahawa memang ada sikap segelintir graduan yang memilih pekerjaan dengan tangga gaji yang tinggi serta persekitaran yang selesa. Namun begitu, bilangannya adalah sedikit berbanding lambakan graduan yang masih menganggur dan sedang mencari pekerjaan. Kita juga perlu memahami situasi graduan sekarang yang mempunyai hutang pendidikan setelah tamat belajar. Memilih untuk tinggal dan bekerja di bandar besar juga menyumbang kepada kos sara hidup yang tinggi dan tidak wajar jika kita membandingkan mereka dengan pekerjaan 20 hingga 30 tahun yang lalu.
-
Bagaimana Kerajaan membantu bagi transformasi industri SME untuk mengguna teknologi bagi menggurangkan kebergantungan tenaga kerja kurang mahir?
Kerajaan Negeri telah merangka beberapa inisiatif dan bantuan bagi membantu transformasi industri SME untuk menggunakan teknologi agar dapat mengurangkan kebergantungan tenaga kerja kurang mahir. Antaranya, Kerajaan Negeri melalui Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) telah melancarkan program Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor yang bernilai RM5 juta bagi membantu syarikat SME bagi mendigitalisasikan perniagaan mereka. Antara bidang digitalisasi yang diberikan penumpuan seperti bidang Pemasaran Digital, Sistem Perakaunan, Sumber Manusia dan Sistem Payroll, E-Dagang dan Sistem E-PoS. SIDEC merupakan anak syarikat Invest Selangor Berhad yang ditubuhkan bagi menggerakkan transformasi digital di Selangor sebagai hab digital ASEAN melalui empat (4) objektif antaranya:
- Memupuk bakat digital;
- Merapatkan jurang digital di Selangor;
- Memperkasa perniagaan; dan
- Proses digitalisasi Industri Kecil Dan sederhana (IKS) di Selangor.
Sehingga 10 November 2021, semua peruntukan telah berjaya digunakan sepenuhnya. Sebanyak 1500 syarikat SME telah membuat permohonan dan 1048 syarikat SME telah diluluskan. Jumlah tersebut telah melebihi sasaran awal iaitu 1000 syarikat SME.
Kerajaan Negeri turut menawarkan pinjaman kepada usahawan yang ingin menyertai platform digitalisasi perniagaan melalui program GO Digital. Skim Pembiayaan Digitalisasi ini menawarkan pinjaman sehingga RM5,000.00 dengan tempoh pembiayaan dari 6 bulan hingga 3 tahun bagi membolehkan 3,000 usahawan membuat pembelian alat komunikasi elektronik seperti tablet untuk mengembangkan lagi bilangan usahawan digital di Selangor.
Di peringkat nasional pula, dalam usaha mentransformasi industri SME untuk mengguna teknologi bagi mengurangkan kebergantungan tenaga kerja kurang mahir, beberapa insentif telah diperkenal di peringkat Kerajaan Persekutuan di bawah MIDA seperti Geran Intervensi Industry4WRD. Geran ini menyediakan bantuan kewangan kepada syarikat SME yang terlibat dalam aktiviti pembuatan dan perkhidmatan ke arah transformasi Industry4WRD dengan had maksimum RM 500,000.00.
Dasar Kebangsaan mengenai IR 4.0 yang dikenali sebagai Industri4WRD adalah satu Dasar Negara untuk transformasi sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan perkilangan bagi tempoh 2018 hingga 2025. Pelaksanaan Industry4WRD bersifat komprehensif dan membabitkan pembangunan industri bagi mengadaptasi penggunaan teknologi dalam organisasi. Ini membantu pihak industri bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga disamping membantu pihak syarikat untuk berdaya saing di peringkat global.