Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

39) TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimana kerajaan Negeri Selangor memupuk syarikat untuk mengunakan tenaga yang boleh diperbaharui?

    Pada ketika ini, Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) telah muncul sebagai salah satu sumber penjanaan tenaga yang paling cepat berkembang. RE dijangka menjadi sumber tenaga terbesar menjelang tahun 2040. Selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang telah dilancarkan pada Julai 2022, Kerajaan Negeri kini akan memaksimumkan potensi sektor RE dan industri hijau untuk mencapai matlamat sebagai Negeri Berdaya Huni dan Negeri Rendah Karbon menjelang 2030. Pelaksanaan RE tidak hanya memberi manfaat kepada kelangsungan sumber bahan mentah, malah turut bersifat mesra alam kerana ia melindungi pelepasan karbon kepada alam sekitar. Ketika ini, sektor tenaga boleh diperbaharui mempunyai potensi besar untuk berkembang. Berdasarkan kajian, masih terdapat syarikat-syarikat tempatan masih belum melibatkan diri dalam sektor tenaga hijau ini. Antara syarikat-syarikat utama yang telah menceburi bidang ini ialah Petronas, Tenaga Nasional Berhad, Telekom dan FGV Holdings Berhad.

     

    Dalam usaha menambahbaik dan meneroka sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui ini, Kerajaan Negeri Selangor secara berterusan mengambil langkah-langkah bagi memupuk dan menggalakkan syarikat-syarikat swasta mengaplikasikannya seperti berikut:

     

    • PBT menawarkan potongan cukai taksiran melalui skim rebat cukai taksiran kepada pemilik rumah mesra alam bagi aspek tenaga yang boleh diperbaharui daripada punca solar, biomas, sisa dan angin dengan nilai rebat sehingga 20% dari jumlah cukai taksiran tahunan;
    • Mengadakan sesi libat urus atau engagement dengan pemain industri berkaitan insentif yang disediakan oleh pihak Kerajaan ke arah penjimatan tenaga iaitu EACG (Energy Audit Conditional Grant) di bawah Rancangan Malaysia ke 12, Insentif ini lebih kepada ‘signifikan’ penggunaan tenaga yang cekap secara berkala kepada pihak syarikat atau industri.
    • Mempromosikan Low Carbon City Challenge (LCC) yang dianjurkan pihak MGTC kepada syarikat-syarikat pemaju;
    • Mengiktiraf penyertaan pihak syarikat yang telah berjaya melaksanakan penjimatan tenaga elektrik dan air;
    • Menyokong dan memudahcarakan syarikat-syarikat meneroka peluang dalam pembangunan projek Large Scale Solar (LSS) dan lain-lain projek RE.
  2. Bagaimana Kerajaan Negeri Selangor melibatkan diri dalam industri untuk meneroka tenaga yang boleh diperbaharui?

    Kerajaan Negeri sentiasa mempergiatkan usaha dalam meneroka pelbagai tenaga baharu untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga tidak boleh diperbaharui. Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy – RE) adalah fokus utama Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan yang mampan dan sifar karbon menjelang tahun 2050. Melalui Dasar Tenaga Baharu 2040 yang telah dilancarkan, ianya akan menjadi satu panduan kepada Kerajaan Negeri untuk menangani pelbagai isu, merentas beberapa sektor yang menggunakan tenaga dan memastikan pembangunannya sejajar dengan trend peralihan tenaga global. Melalui dasar baharu ini, prospek pertumbuhan masa hadapan yang berkaitan tenaga akan diteroka terutama potensi tenaga baharu daripada sumber tenaga bersih dan mampan, termasuk hidrogen, angin dan solar. Berdasarkan kepada dasar-dasar Kerajaan Persekutuan yang dibangunkan, ianya menjadi rujukan dan penggerak kepada Kerajaan Negeri untuk meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui ini. Sebagai contoh Dasar Tenaga Negara 2040 yang dibangunkan bertujuan untuk melonjakkan negara ke arah peralihan tenaga yang lebih mampan. Penglibatan ini boleh dilihat melalui penyertaan Kerajaan Negeri dalam beberapa jawatankuasa utama di peringkat Kerajaan Persekutuan. Selain itu, mewujudkan jalinan kerjasama melalui Private Partnership Program (PPP) di antara Kerajaan Negeri dan pihak swasta dalam mengkaji dan meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui bagi tempoh jangka panjang. Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikatnya, Worldwide Holding Berhad (WHB) sedang giat dalam membangunkan projek-projek mini hidro di sungai-sungai sekitar negeri Selangor yang menggunakan konsep pertukaran tenaga daripada pengaliran air kepada tenaga elektrik. Ia dianggap tenaga boleh diperbaharui kerana kitaran air sentiasa diperbaharui oleh matahari. Secara kesimpulannya, kewujudan pelbagai dasar dan dana pembiayaan secara tidak langsung menambahkan minat dan penyertaan dari pelbagai pihak dalam pelaksanaan tenaga boleh diperbaharui ini . Dengan adanya usaha dan kesungguhan daripada kerajaan serta penggunaan sepenuhnya semua tenaga boleh diperbaharui yang terdapat di Malaysia sama ada yang sedang dan akan dibangunkan secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan bahan api fosil. Justeru itu ianya membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan pemanasan global serta memastikan kemampanan dan kelestarian alam sekitar.

Lampiran

Tiada Lampiran.