Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
257) TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam usaha ke arah membantu menambahbaik penghasilan tenaga boleh diperbaharui?
Pada ketika ini, kebergantungan sumber tenaga dunia adalah tertumpu kepada sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui bagi memenuhi keperluan dan kehendak pengguna. Peningkatan taraf hidup dan kemajuan teknologi yang semakin rancak berkembang telah mengakibatkan permintaan penggunaan tenaga semakin meningkat dari semasa ke semasa. Bergantung hanya kepada sumber tenaga yang pastinya semakin berkurangan ini amat tidak menjamin kelangsungan pembangunan sesebuah negara. Bagi mengatasi masalah ini, sumber-sumber baru yang boleh diperbaharui di lihat sebagai prospek yang berpotensi tinggi. Usaha mencari sumber tenaga boleh diperbaharui adalah penting yang pada ketika ini sumber tenaga sedia ada ini semakin berkurang dengan peralihan masa.
Ketika dunia menyahut seruan penggunaan ‘tenaga yang lebih mampan’ dan ‘kurang karbon’, Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) telah muncul sebagai salah satu sumber penjanaan tenaga yang paling cepat berkembang. RE dijangka menjadi sumber tenaga terbesar pada tahun 2040.
Kerajaan Negeri menyokong usaha untuk menjadikan tenaga boleh diperbaharui sebagai agenda negeri. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah merangka Dasar Tenaga Baharu yang komprehensif supaya menjadi panduan dalam menangani pelbagai isu, merentas beberapa sektor yang menggunakan tenaga dan memastikan pembangunannya sejajar dengan trend peralihan tenaga global. Melalui dasar baharu ini, prospek pertumbuhan masa hadapan yang berkaitan tenaga akan diteroka terutama potensi tenaga baharu daripada sumber tenaga bersih dan mampan, termasuk hidrogen, angin dan solar. Selain itu, KeTSA juga kini memberi fokus kepada rancangan penjanaan tenaga. Rancangan peralihan tenaga sehingga tahun 2040 ini menetapkan sasaran 31 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam kapasiti terpasang pada tahun 2025 dan 40 peratus menjelang 2035.
Oleh itu, dalam usaha menambahbaik dan meneroka sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah:
- menggalakkan penggunaan aplikasi teknologi hijau seperti penggunaan panel solar dan kenderaan elektrik (EV);
- menggalakkan pembangunan ladang solar berskala besar di darat (tanah) dan di kolam/sumber air;
- mempergiatkan lagi penggunaan aplikasi teknologi hijau dengan fokus kepada pembangunan setiap sektor teknologi hijau itu sendiri iaitu tenaga, bangunan, pengangkutan dan pengurusan air serta sisa; dan
- menyediakan program-program yang komprehensif untuk dilaksanakan dalam memberikan kesedaran dan mendidik masyarakat umum, pemain industri dan golongan peniaga mengenai penggunaan tenaga yang mampan.
-
Apakah dasar Kerajaan Negeri dalam pembukaan ladang solar (solar farm/solar power plant)?
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mensasarkan 20 peratus daripada tenaga elektrik yang dijana di Malaysia adalah daripada tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy-RE) seperti hidro mini, biomass, biogas termasuklah solar menjelang tahun 2025 yang secara tidak langsung menyumbang kepada pengurangan 45 peratus intensiti pelepasan karbon menjelang tahun 2030. Industri tenaga solar adalah sebagai alternatif sumber tenaga (tenaga boleh baharu) yang mesra alam telah berkembang di Malaysia dengan sokongan pelbagai program dan tawaran insentif yang menarik. Hal ini secara langsung telah memberi implikasi perancangan dalam konteks penggunaan ruang tanah yang besar untuk dimajukan sebagai ladang solar bagi penghasilan tenaga secara optimum mengikut tempoh perjanjian pembekalan tenaga yang ditentukan.
Selaras dengan pencapaian tersebut, Jabatan Perancang dan Bandar Desa (PLANMalaysia) telah membangunkan Garis Panduan Perancangan Ladang Solar Negeri Selangor yang telah berkuatkuasa pada Januari 2021 sebagai inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan ladang solar berskala besar dilaksanakan secara terancang dan terkawal. Pembangunan tenaga solar juga selaras dengan sasaran Kerajaan Negeri melalui inisiatif Smart Selangor: Domain Smart Energy serta komitmen dalam melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals-SDGs) oleh United Nations melalui SDG7: Affordable and Clean Energy – Ensure Access to Affordable, Reliable, Sustainable and Modern Energy for All); yang mempromosikan penggunaan tenaga boleh baharu secara global.
Halatuju ini turut diperkukuhkan di dalam Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (RSN Selangor 2035) menerusi dasar khusus yang digariskan iaitu BM11: Bekalan Tenaga Elektrik Perlu Disediakan Dengan Mencukupi dan Mencapai Tahap Jaminan Kebolehpercayaan Yang Tinggi; menerusi inisiatif pelaksanaan ladang solar bagi mengurangkan penggunaan bahan api.
Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah meluluskan satu (1) projek Large Scale Solar (LSS) seluas 67.974 hektar (167.967 ekar) di atas sebahagian Lot 5495, Jalan Ladang Acob, Mukim Kapar, Daerah Klang, Selangor kepada syarikat Sharp Venture Sdn. Bhd. Ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di negeri Selangor.
Memandangkan pembangunan ladang solar secara Large Scale Solar (LSS) di bawah kendalian Suruhanjaya Tenaga dan mempunyai tarikan dalam penjanaan sumber tenaga secara komersil dan seterusnya memberi kesan terhadap perancangan pembangunan, maka Kerajaan Negeri komited dalam menggalakkan pembangunan LSS supaya ianya dapat merancakkan pembangunan industri yang memberi impak tinggi kepada ekonomi Negeri Selangor.