Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
01 November 2019 hingga 13 November 2019
106) TEMPOH MASA KELULUSAN PEWARTAAN TANAH
Tahun: 2019
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah makna dan tujuan pewartaan tanah terhadap tapak pemindahan baru peniaga susur Ukay Perdana?
Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PDT Gombak) bersama-sama pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengenalpasti lokasi baharu yang sesuai untuk dijadikan sebagai tapak perniagaan bagi menempatkan peniaga-peniaga yang dahulunya berniaga di atas rizab jalan susur masuk Ukay Perdana. Tapak tersebut akan dirizabkan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) sebagai tapak gerai di bawah kawalan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan diselenggara oleh MPAJ. Setelah tapak tersebut diwartakan, pihak MPAJ boleh membina gerai dan seterusnya menyewakan kepada peniaga-peniaga terbabit.
-
Berapa lamakah kelulusan tersebut?
Permohonan perizaban tapak tersebut telah pun diluluskan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor pada 19 September 2019 dan kini dalam proses penyediaan Pelan Akui oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Selangor (JUPEM Selangor). Siar warta perizaban tapak ini akan dibuat setelah PDT Gombak menerima Pelan Akui bagi tapak berkenaan daripada pihak JUPEM Selangor.
-
Apakah perkara-perkara yang boleh menghalang kelulusan perwartaan tersebut?
Tiada perkara yang boleh menghalang kelulusan pewartaan tersebut kerana YAB Dato’ Menteri Besar telah pun meluluskan permohonan pewartaan tapak gerai tersebut pada 19 September 2019.