Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012
104) TEMPOH KONSESI PENJANJIAN
Tahun: 2012
Sesi: 2
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Siapakah Ahli-ahli Lembaga Pengarah kedua-dua syarikat ini?
Berdasarkan kepada semakan terkini yang telah dibuat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia pada 25 Jun 2012, berikut adalah Ahli-ahli Lembaga Pengarah bagi Syarikat Suasa Efektif (M) Sdn. Bhd. dan Syarikat Godell Parking Sdn.
Bhd.:-
Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat Suasa Efektif (M) Sdn. Bhd. ialah:-
- Ahmad Sazali bin Md Shaarani;
- Tengku Naizatul Shima;
- Lo See Yong;
- Wan Haslinda binti Wan Yusoff; dan
- Tengku Dato’ Taha Alfashni bin Tengku Abd Murad
Ahli-ahli Lembaga Pengarah Syarikat Godell Parking Sdn. Bhd. ialah:-
- Raja Azhar bin Raja Ismail;
- Nasri bin Man; dan
- Ruziah binti Ghazalli
-
Berapakah tunggakan hutang yang masih belum dijelaskan Suasa Efektif (M) Sdn Bhd kepada MPK.?
Tunggakan hutang terkumpul yang belum dijelaskan Suasa Efektif (M) Sdn. Bhd. kepada MPK sehingga Mei 2012 ialah sebanyak
RM3,372,785.02 (Sepuluh bulan sewa bulanan).
MPK telah diarahkan untuk mengkaji samada konsesi ini boleh dibatalkan atau tidak memandangkan hutang terkumpul belum dijelaskan lebih daripada 10 bulan.
-
Berapakah bagi tempoh konsesi yang berbaki antara Suasa Efektif (M) Sdn Bhd dan MPK dan bolehkah MPK mengambil alih semula pengurusan kutipan letak kereta?
- Pengenalan
Semenjak tahun 1999, operasi, pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan tempat letak kereta MPK dijalankan oleh Syarikat Suasa Efektif (M) Sdn. Bhd. (SESB). Perkara ini dilaksanakan dengan permeteraian Perjanjian di antara MPK dengan pihak SESB pada 26 April 1999.
Latar belakang kepada permeteraian Perjanjian tersebut adalah melalui surat tawaran kepada SESB bertarikh 25 Mei 1998 oleh Kerajaan Negeri melalui Pejabat yang berkaitan dan setelah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan segala hak dan kepentingan di dalam pentadbiran tempat letak kereta di dalam kawasan yang berada di dalam bidang kuasa Majlis.
- Tempoh Konsesi
Tempoh awalan konsesi bermula daripada tarikh Perjanjian dan berterusan sehingga tamat tempoh dua puluh (20) tahun selepas Tarikh Pengambilalihan, yang ditafsirkan sebagai bermaksud tarikh di mana pelaksanaan kutipan bermula mengikut Jadual Pelaksanaan sepertimana yang dilampirkan di dalam Perjanjian. Pihak syarikat boleh memohon kepada Majlis untuk perlanjutan tempoh konsesi dalam tempoh tiga (3) tahun sebelum daripada tarikh tamat Tempoh Awalan Konsesi.
- Projek Implementasi
Perkara-perkara yang menyentuh projek implementasi dinyatakan di dalam Artikel V Perjanjian. Terdapat tujuh (7) perkara utama yang disentuh iaitu:-
- Sistem P&D
Sistem yang digunapakai di seluruh tempat letak kereta di sepanjang tempoh konsesi adalah sistem bayar dan peraga dan syarikat adalah bertanggungjawab sepenuhnya bagi kerja-kerja pemasangan dan lain-lain kerja yang berkaitan sistem bayar dan peraga untuk tujuan konsesi.
- Penyelenggaraan Kemudahan
Penyelenggaraan segala kemudahan sepanjang tempoh konsesi adalah di bawah tanggungjawab Syarikat atas kos dan perbelanjaan mereka sendiri. Ini termasuk memastikan garisan bagi petak tempat letak kereta diselenggara dengan baik dan boleh dilihat, sistem bayar dan peraga adalah di dalam keadaan yang baik serta memastikan bahawa semua papan tanda berkaitan dengan tempat letak kereta adalah di dalam keadaan baik.
- Tempat Letak Kereta Terkawal
Semua tempat letak kereta terkawal iaitu yang dikawal Majlis akan diambil alih oleh Syarikat yang tertakluk sentiasa kepada caj yang akan dikenakan kepada pengguna hendaklah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Sekiranya pihak Syarikat hendak mengadakan tempat letak kereta terkawal yang baru mereka boleh memohon kepada Majlis untuk berbuat demikian.
- Kutipan Caj
Tertakluk kepada peruntukan Akta, Syarikat dibenarkan dan berhak untuk mengutip caj secara terus daripada pengguna berkaitan dengan pembayaran pas bulanan dan pas bermusim dan memegang bayaran tersebut untuk kegunaannya. Bagi melaksanakan urusan tersebut Syarikat juga dibenarkan untuk melantik agen bagi menjalankan urusan kutipan.
- Permulaan Kutipan
Pihak Syarikat adalah berhak untuk memulakan kutipan caj daripada pengguna daripada Tarikh Pengambilalihan.
- Semakan Semula Caj
Pihak Syarikat boleh mengemukakan kepada Majlis cadangan untuk semakan semula kadar Caj sedia ada pada setiap lima (5) tahun semasa Tempoh Konsesi tertakluk bahawa pihak Majlis adalah tidak terikat untuk meluluskan cadangan tersebut.
- Semakan Semula Sewa Bulanan
Sekiranya kadar Caj disemak semula maka kadar sewa bulanan juga akan disemak semula kepada kadar yang akan dipersetujui oleh keduadua pihak.
- Kemungkiran, Penamatan dan Force Majeure
- Artikel 10 kepada Perjanjian merujuk kepada perkara-perkara kemungkiran oleh pihak Syarikat dan juga pihak Majlis serta penamatan dan juga force majeure di mana secara khusus dinyatakan adalah kemungkiran pihak Syarikat serta cara dan kesan penamatan sekiranya ditamatkan oleh Majlis.
Pihak Syarikat adalah melakukan kemungkiran sekiranya berlaku perkara-perkara di bawah iaitu:-
- Syarikat gagal mematuhi mana-mana terma dan syarat
Perjanjian; atau
- Syarikat gagal mengambil alih Kemudahan Sediada dan Kontrak Sediada menurut perjanjian; atau
- Syarikat gagal membuat bayaran Sewa Bulanan secara berterusan untuk tempoh selama dua (2) bulan;
atau
- Syarikat dimasukkan Perintah Pembubaran ke atasnya; atau
- Syarikat menjadi tak solven atau melakukan penyesuaian dengan pemiutang-pemiutangnya atau dilikuldasi secara sukarela atau paksa; atau
- Syarikat mempunyai pellkuidasi, penerima dan/atau pengurus yang dilantik untuk perniagaannya.
- Jika berlaku salah satu daripada perkara i), ii), atau iii) di atas, pihak Majlis boleh memberikan notis secara bertulis yang dirujuk di dalam Perjanjian sebagai Notis Kemungkiran. Di dalam Notis Kemungkiran ini Majlis perlu menyatakan kemungkiran dan meminta Syarikat meremedi kemungkiran tersebut dalam tempoh tiga puluh (30) hari selepas tarikh penerimaan Notis Kemungkiran tersebut atau mana-mana tarikh lain yang munasabah yang ditentukan oleh
Majlis.
- Jika berlaku salah satu perkara daripada iv), v) dan vi) maka Majlis sama ada boleh secara terus menamatkan Perjanjian atau memberikan Notis secara bertulis kepada Syarikat menyatakan kemungkiran dan meminta Syarikat untuk meremedi kemungkiran dalam tempoh tiga puluh (30) hari atau suatu tempoh yang lebih panjang yang ditentukan oleh Majlis.
- Kegagalan Syarikat untuk meremedi kemungkiran
Majlis hendaklah menamatkan Perjanjian selepas berakhir lima belas (15) hari daripada tarikh tamat Notis Kemungkiran.
- Sekiranya Perjanjian ditamatkan di atas kemungkiran Syarikat:-
- Milikan ke atas kemudahan yang ada di tempat letak kereta hendaklah diambil alih oleh Majlis dan hendaklah tidak dialihkan oleh mana-mana pihak lain tanpa prasangka walaubagaimanapun terhadap hak majlis untuk mengambil tindakan terhadap pihak Syarikat kerana kemungkiran Perjanjian.
- Majlis mempunyai hak untuk meneruskan penggunaan kemudahan tersebut melainkan sehingga diubah atau ditukar oleh Majlis.
- Milikan oleh Majlis selepas penamatan Perjanjian ini tidak boleh dikira sebagai persetujuan untuk mengambil alih tanggungan pihak Syarikat.
- Kesan penamatan
Sekiranya Perjanjian ditamatkan mengikut yang dinyatakan di Perenggan 4.3 dan 4.4 di atas maka kesannya adalah seperti berikut seperti yang dinyatakan di dalam Klausa 10.5 Perjanjian:-
- “The Council shall pay to the Company within six (6)months or any extended period to be mutually agreed the amount (if any) by which the value of project cost as defined in Clause 10.7 and all amounts as at the Termination which may be owing by the Council to the Company but less any amount owing by the Company to the Council under this Agreement;
Perenggan ini menyentuh tentang tanggungjawab Majlis untuk membayar kepada Syarikat dalam NILAI KOS PROJEK dalam tempoh enam (6) bulan daripada tarikh konsesi ditamatkan.
- Sekiranya perenggan di atas telah dipatuhi maka barulah Konsesi tamat;
- Sekiranya penamatan berlaku sebelum kerja-kerja siap, pihak Syarikat hendaklah memberhentikan semua kerja-kerja dan menyerahkan semua peralatan dan bahan di tempat letak kereta kepada Majlis;
- Pihak Syarikat sekiranya diminta oleh Majlis, hendaklah menyerahkan kepada majlis segala keuntungan oleh manamana Perjanjian bagi pembekalan bahan atau barang dan/atau bagi pelaksanaan oleh mana-mana bahagian kerjakerja yang tidak disiapkan untuk tujuan Perjanjian ini tertakluk sentiasa bahawa pihak Majlis hendaklah berhak, tetapi tidak bertanggungjawab, untuk membayar kepada pembekal atau kontraktor kecil, samada dicalonkan atau dilantik oleh Syarikat, bagi bahan atau barang yang diserahkan bagi tujuan pelaksanaan kerja-kerja di bawah Perjanjian ini sebelum daripada tarikh penamatan, yang gagal dibayar oleh pihak Syarikat;
- Sekiranya penamatan Perjanjian berlaku selepas daripada penyiapan kerja-kerja, maka Syarikat hendaklah menyerahkan kepada Majlis kemudahan secara sedia ada (as is where is basis).
“Works” atau “Kerja-kerja” ditafsirkan sebagai kerja-kerja pemasangan, pembaikan, penambahbaikan dan penaiktarafan kemudahan-kemudahan baru dan sediada yang mungkin diluluskan oleh pihak Majlis.
- Nilai Kos Projek
Nilai Kos Projek sepertimana yang dinyatakan di dalam Klausa 10.7 Perjanjian hendaklah bermaksud:-
Jumlah yang disahkan oleh kedua-dua pihak Majlis dan Syarikat atas jumlah yang ditanggung oleh Syarikat untuk kemudahan seperti yang disenaraikan di dalam Appendix H
- i) Tempat Letak Kereta ii) Papan-papan tanda berkaitan dengan perletakan kenderaan iii) Sistem bayar dan peraga
- iv) Sistem komunikasi on-line
Kecuali Tempat Letak Kereta, ditolak dengan mana-mana penyusutan nilai atau kenaikan caj dan mengambil kira akaun untung rugi Syarikat sehingga tarikh penamatan yang dikira berdasarkan standard perakaunan Malaysia dan wang yang tertunggak dan terhutang kepada Majlis oleh pihak Syarikat.
- Penamatan secara persefahaman kedua-dua pihak
Sekiranya penamatan dibuat oleh kedua-dua pihak secara bersesama dan dengan persefahaman maka terma-terma di atas boleh untuk tidak dipatuhi dan pihak-pihak akan menggariskan terma-terma yang akan dipersetujui oleh kedua-dua pihak atas dasar ‘menang-menang’.