Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
204) TEMPAT PERHENTIAN KAPAL-KAPAL NELAYAN
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri dapat membantu nelayan-nelayan dengan meluluskan tempat perhentian kapal-kapal nelayan?
MMKN Bil 21/2015 bertarikh 1 Julai 2015 memutuskan agar LUAS menimbangkan cadangan pewartaan jeti-jeti nelayan tanpa lesen yang didapati strukturnya kukuh dan boleh digunakan melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Pengurusan Jeti. Selaras dengan itu, bancian telah dijalankan oleh agensi dan wakil bagan/persatuan bagi jeti nelayan yang selamat untuk digunakan di semua kawasan dan daerah terlibat.
Permohonan lengkap bagi pemutihan jeti nelayan yang telah ditanda dan dibanci akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Jeti Negeri Selangor. Permohonan dasar yang telah diluluskan di dalam Jawatankuasa ini akan dibawa untuk pertimbangan kelulusan tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor atau Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
-
Jika ya, adakah Kerajaan Negeri dapat mengenakan cukai mengikut keluasan?
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 7/2020 yang bersidang pada pada 19 Februari 2020 telah meluluskan Caj Kebenaran Bertulis Pembinaan Jeti Pendaratan Ikan di mana kadar caj tidak berdasarkan keluasan tanah. Selaras dengan keputusan MMKN ini, LUAS akan mengeluarkan lesen atau kebenaran bertulis selaras dengan Seksyen 43, Enakmen LUAS ke atas jeti nelayan yang telah telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Jeti nelayan di kawasan rizab sungai boleh dipertimbangkan melalui Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di bawah Seksyen 65 Kanun Tanah Negara (KTN) terlebih dahulu sehingga tanah rizab tersebut diwartakan di bawah Seksyen 62 KTN dan seterusnya kelulusan Pajakan Tanah Rizab di bawah Seksyen 63 KTN. Selaras dengan Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor Bil. 4/2015, bayaran LPS bagi kegunaan jeti adalah 30% x nilaian sewaan tanah semasa x 12 bulan x luas. Tiada cukai tanah tahunan mengikut keluasan dikenakan bagi kelulusan secara LPS. Walau bagaimanapun, kelulusan secara Pajakan Tanah Rizab akan dikenakan cukai tanah tahunan mengikut keluasan, taraf tanah (mukim, pekan atau bandar) dan daerah yang berkenaan.