Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
39) TEKNOLOGI PEMODENAN PERTANIAN
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah inisiatif dan usaha kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat dengan pertanian pemodenan bandar?
Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) bagi memajukan sektor pertanian dengan lebih teratur dan tersusun. Dasar ini memberikan penekanan kepada sektor pertanian yang mampu menghasilkan pulangan tinggi menerusi kaedah moden dan berteknologi tinggi serta mesra alam. Objektif utama PeTA adalah :-
- Produktiviti
Meningkatkan pengeluaran hasil segar dan tahap sara diri atau self sufficient ratio (ssr)
- Ekonomi
Meningkatkan sumbangan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) di sektor pertanian makanan dan pendapatan golongan agroprenuer
- Modal Insan
Memberi peluang khususnya kepada golongan dan wanita untuk terlibat di dalam sektor pertanian makanan dan menyediakan Latihan dan bimbingan dengan agroprenuer sedia ada serta yang baharu untuk menceburkan diri.
Bagi memastikan objektif tersebut dapat dicapai, 5 dasar telahpun digariskan untuk sektor pertanian di Negeri Selangor iaitu :-
- Pertanian Bernilai Tinggi (High Value Product);
- Pemodenan Pertanian (Agriculture Modernization);
- Rantaian Bekalan Makanan Lengkap (Complete Supply Chain);
- Pembangunan Agropreneur (Agropreneur Development); dan
- Agro Pelancongan (Agro Tourism).
Bagi pelaksanaan PeTA pula, ianya telah dipecahkan kepada 9 kluster iaitu :-
- Agro Prihatin
- Pengurusan lambakan hasil pertanian.
- Pemberian bantuan / insentif kepada golongan petani, penternak, nelayan dan Industri Asas Tani (IAT).
- Agro Komuniti
- Program agro bandar dan kebun komuniti.
- Agro Siswa.
- Agro Sekolah.
- Agro Centre Of Excellence (ACE)
- Meningkat kajian dan pelaksanaan untuk mengeluarkan benih tanaman, baka ternakan dan akuakultur serta kajian bagi mengurangkan kos makanan ternakan serta penghasilan input-input tanaman yang bersifat mesra alam.
- Agropreneur Selangor
- Mewujudkan lebih ramai agroprenuer.
- Program Ikon Selangor.
- Pendaftaran agroprenuer.
- Agro Pelancongan
- Galakan untuk mewujudkan lebih banyak lokasi agro pelancongan berasaskan projek-projek pertanian yang sedia ada sebagai pendapatan tambahan kepada pengusaha.
- Melaksanakan program-program bagi mempromosikan lokasi pertanian seperti Pesta D’Bendang dan Sport Fishing.
- Maju Agro Selangor
- Program meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan agroprenuer.
- Membina dan menaik taraf prasarana berkaitan sektor pertanian.
- Agro Niaga
- Mewujudkan lebih banyak pusat-pusat pengumpulan yang lengkap.
- Promosi hasil segar dan proses di dalam dan luar negara.
- Mewujudkan lokasi-lokasi jualan secara terus kepada pengguna seperti Selangor Agro Market (SAM) dan Program Agro Ehsan.
- E-Agro
- Pusat pengumpulan data-data pertanian seperti kawasan yang sedang diusahakan dengan projek pertanian, jumlah pengusaha sektor pertanian makanan segar dan proses serta maklumat tanah-tanah pertanian milik Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dimajukan.
- Borang-borang permohonan insentif pertanian dan pendaftaran agroprenuer secara atas talian.
- Smart Selangor Agro Park (SSAP) Dan Smart Selangor Agro Farm (SSAF)
- Pembukaan lebih banyak Kawasan-kawasan pertanian makanan berteraskan Dasar PeTA.
Melalui dasar PeTA tersebut ianya turut merangkumi program dan projek khususnya di kawasan bandar bagi memberikan hasil sampingan melalui projek berskala kecil tetapi berpotensi memberikan pendapatan sampingan yang baik seperti tanaman cendawan, tanaman berkonsepkan fertigasi dan hidroponik serta penternakan lobster air tawar di mana projek-projek pertanian tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas tetapi dapat mengoptimakan ruang yang ada dengan imbuhan pendapatan yang baik.
-
Bagaimanakah kerajaaan boleh meningkatkan pengeluaran produk makanan dengan pertanian pemodenan bandar seperti akualkultur yang atas blok pangsapuri atau kebun komuniti di tanah lapang?
Memandangkan ruang bagi tanaman atau projek-projek berkaitan pertanian amat terhad di kawasan bandar, Kerajaan Negeri amat memberikan galakan dan insentif kepada orang ramai yang berminat untuk mengusahakan kawasan yang mereka ada dengan pelaksanaan projek-projek pertanian berkonsepkan pertanian moden seperti tanaman berkonsepkan fertigasi yang menggunakan polibag sebagai contoh tanaman cili, terung, halia dan bendi manakala untuk bidang akuakultur pula dengan menggunakan konsep penternakan di dalam kanvas atau tangka yang bersesuaian dan ianya boleh dilaksanakan di mana-mana kawasan tanpa mengira tahap kesuburan tanah tetapi masih memerlukan sistem bekalan air dan tenaga elektrik. Ianya termasuklah juga projek-projek tanaman atau akuakultur di dalam bangunan termasuk di dalam bangunan-bangunan yang tidak digunakan (abandoned premis).
Di Negeri Selangor khususnya di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) amat memberikan galakan kepada penduduk di sesuatu kawasan untuk mengusahakan projek-projek pertanian dengan insentif yang turut disediakan oleh Kerajaan Negeri di mana terdapat lebih daripada 200 kawasan kebun komuniti yang berdaftar dengan PBT yang berkaitan.