Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

363) TEKNOLOGI HIJAU HUB PERTANIAN DAN KETERJAMINAN KERAJAAN

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Muhaimin Harith Bin Abdullah Sani

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu golongan petani di Hulu Selangor khususnya kawasan Batang Kali yang menggunakan Teknologi Hijau dan moden?

    Kerajaan Negeri telah memperkenalkan satu inisiatif peningkatan pendapatan petani melalui Pertanian Bernilai Tinggi dimana penanaman tanaman buah-buahan dan sayuran yang bernilai tinggi bermula dari tahun 2020 lagi. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan 12 tanaman bernilai tinggi yang akan diperluaskan penanamannya bagi menjana ekonomi petani di luar bandar melalui aktiviti pertanian yang sama.

    Antara tanaman yang giat diperluaskan buat masa ini adalah tanaman melon, halia, cendawan, nanas dan jagung bijian. Melalui program ini, peduduk luar bandar yang merupakan kawasan tumpuan pertanian akan menjana pendapatan yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan sosioekonomi golongan petani ini.

  2. Bagaimanakah Kerajaan Negeri akan menjadikan Selangor sebagai Hub pertanian dan penternakan terhadap keterjaminan makanan di Selangor?

    Kerajaan Negeri sedang melaksanakan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) yang mengambil kira semua faktor yagn boleh memberikan impak untuk jangka masa panjang dan jangka pendek dalam membangunkan sektor pertanian makanan Negeri Selangor termasuk dalam menjadikan Negeri Selangor sebagai hub pertanian dan penternakan.

    Dasar PeTA Selangor tersebut adalah seperti berikut;

    1. Pertanian Bernilai Tinggi
    2. Pemodenan Pertanian
    3. Rantaian Bekalan Makanan Yang Lengkap
    4. Pembangunan Agroprenuer; dan
    5. Agro Pelancongan

    Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai projek dan program untuk menggalakkan serta membantu para petani mengembangkan usaha tani mereka melalui pelbagai bentuk insentif.

    Antara Insentif yang disediakan adalah dari segi pembangunan infrastruktur ladang, bantuan input-input dan peralatan pertanian dan juga pembangunan modal insan petani melalui latihan, kursus dan program pemindahan teknologi yang lain. Selain insentif tanaman makanan, Jabatan Pertanian juga membantu dalam membangunkan usahawan-usahawan Industri Asas Tani yang merupakan industri hiliran bagi rantaian bekalan makanan negara.

     

    Jabatan Veterinar Negeri Selangor (DVS) mempunyai inisiatif seperti bantuan dalam bentuk benih ternakan, peralatan menternak, bahan binaan kandang, pemakanan ternakan dan homplot (tanaman rumput) melalui beberapa Program Pembangunan iaitu Pembangunan Komoditi Ternakan Ruminan dan  Pembangunan Pembiakbakaan Ruminan, Pembangunan Komoditi Ternakan Unggas dan Bukan Ruminan.

    Kerajaan Negeri melalui DVS sedang menaik taraf reban-reban sedia ada milik Kerajaan Negeri yang terletak di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sabak Bernam, Sepang dan Hulu Selangor yang sedang disewakan kepada penternak tempatan.

    Selain itu, sebagai usaha meningkatkan pengeluaran ayam di Negeri Selangor ini, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan melaksanakan projek usahasama dengan Syarikat Pertanian Pertiwi Sdn. Bhd. (Charoen Pokphand – CP) bagi membina ladang ayam pedaging baharu yang mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 3 juta ekor ayam setahun.

    Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) juga melaksanakan Projek Tanaman Jagung Bijirin seluas 300 ekar di Kuala Langat Selatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan ayam diimport. PKPS juga merancang untuk membangunkan projek ternakan ayam daging iaitu di Ulu Bernam, Hulu Selangor yang dijangka dapat menambah pengeluaran ayam daging sebanyak 300,000 ekor setiap kitaran. Ini menjadikan jumlah pengeluaran ladang ayam PKPS kepada 800,000 ekor ayam setiap kitaran berbanding 500,000 ekor sebelum ini.

    Bagi ternakan lembu pedaging dan lembu tenusu, PKPS mempunyai perancangan untuk menjadikan ladang Jelutong Jati, Mukim Sungai Panjang di Daerah Sabak Bernam sebagai projek lembu pedaging manakala projek lembu tenusu akan dilaksanakan di tapak Ladang Projek Sungai Tengi. Kawasan tersebut berkeluasan 142 ekar dan akan dibangunkan menggunakan infrastruktur berteknologi tinggi. Kapasiti kawasan tersebut mampu menampung sebanyak 1200 ekor lembu tenusu.

Lampiran

Tiada Lampiran.