Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

149) TEKNOLOGI HIJAU

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah projek, inisiatif dan budaya berasaskan teknologi hijau yang dipraktikkan oleh Kerajaan Negeri Selangor?

    Projek/inisiatif Kerajaan Negeri berasaskan teknologi hijau yang dipraktikkan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah seperti berikut:

     

    1. Pemasangan lampu solar di premis Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi dalam Negeri Selangor seperti dewan, stadium, gerai, masjid, rumah ibadat, sekolah dan kawasan parkir;
    2. Pembangunan Projek Ladang Solar Berskala Besar sama ada di atas tanah dan di atas air;
    3. Menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dengan penyediaan 1,000 EV Charging Bay menjelang tahun 2025; dan
    4. Mengadakan program-program kesedaran berkaitan tenaga lestari dengan penglibatan pihak kerajaan, swasta dan komuniti secara berterusan.
  2. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menyediakan kemudahan bagi orang awam untuk berkecimpung dalam teknologi hijau, terutamanya di peringkat perniagaan kecil sederhana?

    Pada ketika ini, Kerajaan Negeri Selangor tidak menyediakan insentif khas kepada pihak industri yang mengaplikasikan teknologi hijau. Namun begitu, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan menerima baik setiap insentif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan dan Agensi lain seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, MGTC dan SEDA.

     

    Majlis Bandaraya Petaling Jaya merupakan PBT perintis di Negeri Selangor dan juga di Malaysia yang memberikan perakuan dalam bentuk rebat cukai kepada komuniti yang mengamalkan gaya hidup mampan dan mengaplikasikan teknologi hijau. Selain itu, skim tapak parkir percuma kepada pengguna kenderaan hibrid dan elektrik serta pemberian tong sampah kompos. Inisiatif ini menjadi satu anjakan baharu yang boleh dilaksanakan di semua PBT Negeri Selangor.

     

    Kerajaan Negeri Selangor menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam pertimbangan untuk menyediakan kerangka dasar dan hala tuju ekonomi hijau (green economy) yang lebih menyeluruh yang merangkumi sektor-sektor utama di Negeri Selangor dan elemen-elemen tenaga baharu termasuk tenaga boleh diperbaharui, solar, hidrogen dan lain-lain lagi.

Lampiran

Tiada Lampiran.