Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
144) TEKNOLOGI BARU PERPARITAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perubahan atau peningkatan pada sistem perparitan di sepanjang jalan dan longkang di kawasan Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat, pada masa kini, tiada perubahan teknologi baharu yang diperkenalkan dalam sistem perparitan di Negeri Selangor. Namun, prinsip Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) kekal sebagai rujukan utama dalam perancangan dan pengurusan saliran di negeri ini. Selain itu, Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) turut diterapkan dalam proses pembangunan tanah, khususnya dalam kelulusan kebenaran merancang serta kajian semula rancangan tempatan. Pendekatan ini bertujuan meningkatkan keberkesanan sistem perparitan dengan memberi penekanan kepada kawalan limpahan air serta memastikan pembangunan yang lebih lestari dan mampan.
Kerajaan Negeri melalui YB EXCO Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian sedang merangka beberapa projek/ program untuk tujuan perubahan atau peningkatan pada sistem perparitan di sepanjang jalan dan longkang di kawasan Selangor melalui:-
- Selangor Off River Storage Scheme (SORSS);
- Pembinaan tadahan air ribut komuniti (Community On Site Detention-OSD) di setiap pembangunan baharu bertujuan untuk pengawalan di sumber; dan
- Pembangunan kolam secara bersepadu melibatkan kolam milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).