Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

179) TEKANAN BEKALAN AIR SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Tekanan air di kawasan Jeram semakin teruk terutama bermula waktu maghrib. Alasan diberikan oleh pegawai pengurusan, penggunaan air banyak digunakan ketika itu. Tiada solusi lainkah selain alasan itu?

    Punca tekanan air rendah

     Terlebih dahulu, ingin dijelaskan di sini bahawa punca kepada masalah tekanan air rendah di kawasan Jeram adalah disebabkan pertambahan bilangan penduduk yang membeli dan membina rumah dari lot-lot tanah kecil berstatus pertanian yang tidak terancang. Pembangunan perumahan di atas tanah lot sendiri tidak mengikut perancangan infrastruktur yang sistematik kerana mengabaikan sistem perpaipan air mengikut reka bentuk dan spesifikasi yang ditetapkan oleh jurutera perunding.

     Secara amnya, sistem perpaipan bagi kawasan perumahan yang berstruktur dan terancang melibatkan penggunaan paip komunikasi sepanjang 5 meter dengan tekanan air yang sesuai bagi membolehkan bekalan air diagihkan kepada pengguna secara teratur. Namun, di kawasan tersebut, permohonan bekalan air di rumah-rumah persendirian ini melibatkan penyambungan paip komunikasi dengan jarak kepanjangan kira-kira 200 meter telah menyumbang kepada tekanan air rendah kerana berada jauh dari paip retikulasi. Terdapat juga permohonan bekalan air dari kawasan perumahan tidak berstruktur yang memerlukan penyambungan paip komunikasi yang lebih panjang dengan jarak 1.3km sambungan dari paip retikulasi.

     Berdasarkan rekod kami, bermula 2018 sehingga 2021, pembangunan rumah tidak berstruktur ini bertambah sehingga mencecah 1,200 buah rumah. Apabila ini berlaku, sambungan paip komunikasi yang tidak mengikut spesifikasi ukuran kepanjangan paip standard lalu ditambah pula dengan peningkatan bilangan penduduk telah menyumbang terhadap tekanan air rendah di kawasan terbabit.

     Terdapat juga aduan-aduan tekanan air rendah berpunca dari kejadian paip pecah atau paip bocor yang berpunca dari penggunaan paip usang melebihi 30 tahun yang diperbuat dari jenis simen asbestos (AC) dan paip Klorida Plivinil Tidak Berplastik (uPVC).

     Kesemua aduan telah ditangani dengan kadar segera sebaik sahaja aduan diterima dengan melantik kontraktor panel pembaikan paip yang dapat berkhidmat ketika kecemasan dan berjaya melaksanakan kerja-kerja pembaikan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

    Tindakan Air Selangor

     Bagi mengatasi tekanan air rendah yang berlaku di kawasan tersebut, Air Selangor telah melantik perunding pada 2021 untuk mereka bentuk sistem perpaipan bagi mendapatkan sumber air tambahan. Perlaksanaan kerja-tersebut dijangka siap pada tahun 2023 dan dilihat akan memberi impak positif kepada pengguna dengan menambah baik sistem perpaipan bekalan air secara keseluruhan.

     Selain dari tindakan menambah sumber air tambahan, Air Selangor juga merancang untuk memasang paip sub-utama (atau ‘submain pipe’) bagi kawasan yang tiada paip retikulasi dalam mengatasi tekanan air rendah yang berpunca daripada paip komunikasi yang terlalu panjang melebihi 1km. Kerja-kerja ini dijangka akan siap pada Jun 2022.

Lampiran

Tiada Lampiran.