Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

26) TEBATAN BANJIR DI KAMPUNG SERI KELEDANG

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapakah pihak JPS Hulu Selangor gagal membaiki ban yang rebak di Kg.SeriKeledang,walaupun aduan telah dibuat oleh penduduk?

    Ban di Kampung Seri Keledang berada di dalam Lembangan Sungai Bernam yang menjadi persempadanan antara Negeri Selangor dan Negeri Perak. Lembangan Sungai Bernam berkeluasan 3,335 kilometer persegi dan panjang Sungai Bernam adalah sepanjang 216 kilometer. 35% Lembangan Sungai Bernam terletak di dalam Negeri Selangor dan selebihnya terletak di dalam Negeri Perak.

    Kejadian ban rebak di Kampung Seri Keledang berlaku pada bulan Januari 2021. Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) telah melaksanakan kerja-kerja pembaikan ban rebak tersebut di bawah tajuk Program Pemulihan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir Sungai Bernam Di Kampong Seri Keledang, Mukim Hulu Bernam Selatan, Daerah Hulu Selangor melibatkan sepanjang 200 meter dan telah siap pada 21 November 2022. Kelewatan pelaksanaan adalah disebabkan oleh proses siasatan tanah dan penyediaan reka bentuk terperinci berserta proses perolehan bagi lantikan kontraktor.

    Pihak JPS melalui JPS Daerah Hulu Selangor akan sentiasa memantau dan membuat rondaan dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang kerosakan dibaiki dengan segera sekiranya berlaku kejadian yang berulang.

  2. Pembinaan tebatan banjir dihilir KgSeriKeledang dibuat walaupun tidak pernah dipohon oleh penduduk. Malah,tebatan tersebut dibina dikawasan kebun yang tidak didiami.Nyatakan justifikasi pembinaan tersebut.

    Pembinaan tebatan banjir di hilir Kampung Seri Keledang adalah disebabkan berlaku kerosakan ban berhampiran dengan Jalan Utama Sungai Panjang – Seri Keledang. Sekiranya kerosakan ban yang dikenalpasti tidak dibaiki, kesan kerosakan akan menyebabkan perhubungan melalui darat terputus di antara Pekan Sungai Panjang ke Pekan Seri Keledang. Keadaan ban pecah juga akan menyebabkan limpahan Sg. Bernam yang akan mengakibatkan banjir serta menjejaskan kawasan sekitar yang dianggarkan seluas 60 hektar terutamanya di Pekan Seri Keledang.

    Di samping itu, pihak JPS juga akan sentiasa membuat pembaikan ban sekiranya terdapat kerosakan terutamanya di kawasan berisiko banjir yang melibatkan penempatan dan perhubungan darat bagi mengelakkan kerosakan lebih kritikal yang seterusnya menyebabkan banjir yang lebih teruk berlaku.

Lampiran

Tiada Lampiran.