Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

205) TEATER SHAH ALAM

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk membina dan membaiki teater Shah Alam ?

    Jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri untuk membina dan membaiki Teater Shah Alam adalah seperti berikut :-

    BIL. PERKARA PERUNTUKAN
    1. Kos pembinaan RM 44,538,000.00
    2. Kos membaikpulih RM      967,330.95
    3. Kos membina pagar RM      145,246.00
      JUMLAH KESELURUHAN RM45,650,576.95
  2. Siapakah yang diberi tanggungjawab untuk menjaga dan menguruskan bangunan teater tersebut ?

    Cadangan pembinaan Teater Shah Alam merupakan projek di bawah kendalian Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kerajaan Negeri Selangor dengan kos pembinaan sebanyak RM44,538,000.00. Bangunan Teater Shah Alam ini telah disiapkan pada 6hb. Ogos 2008. Tempoh membaiki kecacatan (Defects liability period) adalah selama 24 bulan bermula dari 6hb Ogos 2008 hingga 7hb Ogos 2010. Sijil Kelayakan Menduduki (CF) bagi bangunan ini telah dikeluarkan pada 21hb. Oktober 2008. Pihak Majlis hanya diberi tugas untuk memantau dan menyelia perlaksanaan kerja-kerja pembinaan dan seterusnya menyerahkan semula pemilikan bangunan tersebut kepada Kerajaan Negeri.

    Dengan arahan dari Kerajaan Negeri, satu kajian audit terhadap pembinaan dan pengurusan Bangunan Teater Shah Alam telah dijalankan oleh Jabatan Audit Negara pada 19hb Oktober 2009. Manakala pada 15 hingga 16hb. November 2010 pula, Kerajaan Negeri telah melantik Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) untuk membuat satu pemeriksaan “Building Condition Status Inspection Report On The Royal Theater“ ke atas Bangunan Teater tersebut. Bagi melaksanakan tugas itu pihak PAM telah melantik Tetuan Architect Centre Sdn Bhd untuk memeriksa dan seterusnya menyediakan laporan “Building Condition Status Inspection Report On The Royal Theater“. Antara penemuan yang diperolehi dari kedua-dua laporan audit tersebut adalah seperti berikut :-

    1. Bangunan Teater Shah Alam ini perlu sentiasa dan kerap digunakan bagi memastikan semua peralatan dan kelengkapan berada dalam tahap optima pada keupayaan peralatan sebenar. Kadar kerosakan pada peralatan dan kelengkapan akan berlaku dengan lebih cepat sekiranya bangunan tersebut tidak digunakan dalam satu tempoh yang lama.
    2. Sebuah badan pengurusan yang berpengalaman dan berpengetahuan perlu dilantik untuk mengurus, menyelia dan menyelaras operasi bangunan agar sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

    Selaras dengan penemuan-penemuan audit tersebut pihak Majlis telah menyediakan satu kertas Exco – MTES Bil 15/241 bagi Cadangan Pentadbiran, Pengurusan, Penyelenggaraan dan operasi Bangunan Teater Shah Alam oleh

    Majlis Bandaraya Shah Alam  dan telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 3hb Jun 2011. Kertas tersebut telah dipersetujui dengan pindaan oleh pihak Exco dan telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor ke 27/2011 pada 10hb. Ogos 2011.

    Di dalam cabutan keputusan mesyuarat tersebut pihak Kerajaan Negeri telah menimbang dan meluluskan peruntukan sebanyak RM 1.3 juta kepada MBSA sebagai ‘care-taker’ Bangunan Teater Shah Alam untuk tempoh 6 bulan mulai 1hb. Julai 2011- 31hb. Disember 2011.

    Proses  Penyerahan Dan Ujilari Bangunan Teater Shah Alam

    Pada 21hb.Oktober 2011 pihak Majlis telah menerima sepucuk surat dari Pejabat Exco Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Kebudayaan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi yang memberi kebenaran kepada Tetuan SACC Convenc Sdn. Bhd. untuk menggunakan  Bangunan Teater Shah Alam bagi tujuan ujilari bermula dari 21hb.Oktober 2011 sehingga 31hb. Disember 2011.

    Bagi tujuan ujilari tersebut, SACC Convec Sdn. Bhd. kemudiannya telah mempelawa pihak Astro Berhad untuk menggunakan Bangunan Teater Shah Alam sebagai lokasi bagi Program Maharaja Lawak Mega Astro yang disiarkan secara langsung pada setiap hari Jumaat dari jam 10.00 – 12.30 malam mulai 24hb. Oktober – 31hb. Disember 2011.

    Bil keseluruhan bagi penggunaan Bangunan Teater Shah Alam tersebut berjumlah RM591,900.00. Pihak SACC Sdn Bhd pada 11hb Mei 2012 telah menjelaskan sebahagian bayaran berjumlah RM101,400.00 manakala caj sewaan berjumlah RM 490,500.00 masih belum dijelaskan oleh pihak SACC Convec Sdn. Bhd. MBSA telah bersetuju dengan diskaun sebanyak 50% dengan sejumlah RM 235,849.00 dan telah pun dijelaskan secara beransur-ansur oleh pihak SACC Sdn Bhd. Perincian bayaran seperti berikut :

    Bil Tarikh Cek Jumlah Bayaran (RM)
    1. 15 Februari 2013 58,962.25
    2. 30 Mac 2013 58,962.25
    3. 15 Mei 2013 58,962.25
    4. 30 Jun 2013 58,962.25
      Jumlah 235,849.00
  3. Siapakah yang akan bertanggungjawab untuk menguruskan aktiviti-aktiviti dan pengisian teater tersebut serta nyatakan apakah bentuk pengisiannya ?

    Berdasarkan keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang bersidang pada 13 Mei 2011 telah bersetuju untuk melantik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai ‘Care Taker’ bangunan Teater Shah Alam untuk tempoh 6 bulan sahaja. Majlis Bandaraya Shah Alam telah mencadangkan tempoh ini bermula dari 1hb Julai 2011 sehingga 31hb Disember 2011.

    Beberapa aktiviti telah dijalankan di Teater Shah Alam. Antaranya ialah pada 14

    Mac 2014 telah diadakan showcase kombo MBSA bersempena Malaysia Women Marathon (MWM) dan pada 19 April 2014 pula telah diadakan Malam Puisi Riong Shah Alam yang membawa tema Istikrar Cinta di mana program telah dibarisi oleh tokoh seni, budayawan, kumpulan teater, kumpulan tari dan par pemuisi tanah air. Dalam pada itu, MBSA juga sedang melaksanakan kerjasama bersama JAIS untuk menjalankan aktiviti kerohanian di Teater Shah Alam.

Lampiran

Tiada Lampiran.