Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

70) TEATER PUTERA LA GALIGO

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah bentuk bantuan dan sokongan Kerajaan terhadap penyediaan dan persembahan Teater Putera La Galigo?

    Kerajaan Negeri telah meluluskan pementasan Teater Perdana Putera La Galigo melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) Ke-12/2016 yang diadakan pada 6 April 2016 dan telah disahkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) Ke-12/2016 pada 13 April 2016.

    Semenjak itu, Kerajaan Negeri telah memberikan beberapa bentuk sokongan dan bantuan dalam penyediaan dan persembahan Teater Perdana Putera La Galigo ini. Antara bantuan dan sokongan yang telah dan akan diberikan adalah seperti berikut:

     

    • Penyaluran peruntukan pertama RM250,000 pada bulan Julai 2016;
    • Penyaluran peruntukan kedua RM100,000.00 (terakhir) pada bulan Oktober 2016;
    • Sesi perbincangan dan khidmat nasihat secara langsung yang berterusan di antara pihak UPEN dan wakil pejabat YB Tuan Exco Kebudayaan dengan pihak Keno Production;
    • Mesyuarat penyelarasan Jawatankuasa Induk Pementasan Teater Perdana Putera La Galigo yang dipengerusikan oleh YB Tuan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor;
    • Membawa dan mengangkat cadangan pementasan ini untuk dipersembahkan kepada DYMM Sultan Selangor sempena bulan sambutan Hari Keputeraan Baginda;
    • Sokongan dan bantuan kepada Keno Production berkaitan birokrasi dan surat sokongan untuk mendapatkan tajaan; dan
    • Sebarang bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan oleh pihak Keno Production di bawah lingkungan had bidang kuasa dan pentadbiran Kerajaan Negeri.
  2. Bagaimanakah peradaban Bugis yang ditampilkan melalui teater ini boleh mengukuhkan etika dan budaya rakyat Selangor?

    Tujuan untuk pementasan teater ini diadakan adalah untuk menyorot kembali sejarah Kesultanan Selangor yang telah mencecah usia 250 tahun pada tahun ini. Skrip teater ini juga mengambil inspirasi daripada hikayat epik Bugis, La Galigo yang telah menjadi sumber etika dan kebudayaan masyarakat Bugis sejak sekian lama. Nasihat-nasihat yang baik melalui kata pepatah dan peribahasa Bugis merupakan salah satu unsur penting yang akan ditonjolkan. Diharapkan pementasan teater ini akan memberikan kesedaran terhadap sejarah dan kebudayaan yang akan menjadi kompas etika dalam masyarakat yang hidup di zaman moden ini. Penerapan unsur-unsur budaya dan tatasusila Melayu Bugis yang baik turut ditonjolkan untuk memberikan pendedahan kepada rakyat Negeri Selangor keindahan dan kelembutan budaya yang perlu diamalkan dan dipelihara.

  3. Adakah Kerajaan sedia menaja tiket bagi pelajar-pelajar sekolah seluruh Selangor untuk menonton teater ini?

    Buat masa ini, sememangnya hasrat Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor untuk membuat tajaan tiket kepada pelajar di peringkat sekolah dan pengajian tinggi di dalam negeri. Tajaan tiket ini bukan sekadar bermaksud untuk meramaikan penonton yang hadir tetapi perhatian untuk memberikan pendedahan dalam menonton teater dari naskhah terpanjang di dunia ini di kalangan pelajar adalah tujuan utama.

    Walau bagaimanapun, buat masa ini tiada peruntukan khusus disediakan. Namun Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri akan berusaha bagi memastikan golongan pelajar daripada peringkat sekolah dan pusat pengajian tinggi berpeluang menonton pementasan teater ini.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.