Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

77) TEAM SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan projek-projek ataupun aktiviti Team Selangor pada tahun 2021 dan kos yang dibelanja bagi setiap program.

    Team Selangor merupakan sebuah inisiatif kesukarelawanan dan pemerkasaan komuniti yang ditubuhkan mulai tahun 2017 dengan objektif menjadikan anggota dan warga negeri sebagai penggerak kepada pembangunan masyarakat dan negeri dengan penggemblengan tenaga secara kolektif melalui program-program bersasar di lapangan. Kebanyakan aktiviti Team Selangor mensasarkan penyertaan masyarakat dengan jalinan bersama agensi Kerajaan Negeri agar setiap aktiviti mencapai objektif yang berterusan dan bermanfaat untuk setiap yang berkepentingan.

     

    Sepanjang tahun 2021, Team Selangor telah menganjurkan sebanyak 2,776 program yang dibahagikan kepada lima (5) tema program utama seperti berikut:

     

    • Pembangunan Komuniti
    • Alam Sekitar
    • Anak Muda & Mahasiswa
    • Mobilisasi Sukarelawan
    • Pembangunan Kerohanian

     

    Memandangkan 2021 adalah tahun di mana negeri sedang menjalani proses pemulihan ekonomi akibat pandemik, maka tumpuan aktiviti Team Selangor sangat menumpukan kepada aspek pembangunan semula masyarakat. Program pembangunan komuniti, merangkumi aktiviti seperti edaran bantuan makanan/ barangan, gotong-royong, latihan kemahiran serta klinik bola komuniti. Sebanyak 1,213 aktiviti dilaksanakan sepanjang 2021 dengan perbelanjaan berjumlah RM3.5 juta.  Sejumlah RM1.3 juta telah dibelanjakan dalam memastikan keseluruhan aktiviti ini diterima oleh warga masyarakat negeri yang terkesan dengan pandemik COVID-19. Di bawah program alam sekitar, sebanyak 163 aktiviti telah di zahirkan dengan purata setiap penganjuran aktiviti bernilai RM 2,400. Antaranya seperti bengkel kehidupan lestari, gotong-royong di kawasan tumpuan pengunjung, audit sisa dan pengumpulan minyak masak terpakai daripada komuniti.

     

    Kluster anak muda dan mahasiswa turut menjadi tumpuan Team Selangor sesuai dengan perkembangan dunia digital dan sukan elektronik. Aktiviti seperti pertandingan e-sukan Mobile Legends: Bang Bang dan PUBG Mobile telah dianjurkan disusuli dengan bengkel streaming dan bengkel pengurusan acara atas talian. Aktiviti mahasiswa pula digerakkan di bawah program pemerkasaan ‘perintis’ Team Selangor. Kesemua ini menelan kos hampir RM1.1 juta dengan 336 aktiviti dijalankan sepanjang 2021.

     

    Selain itu, program berbentuk pembangunan kerohanian telah digerakkan dengan acara berbentuk kuliah melalui Selangor Bertadabbur, pengisian ilmiah yang merentasi agama serta pelbagai aktiviti yang terbit daripada permintaan komuniti. Antaranya, sanitasi rumah ibadat termasuklah masjid, surau dan kuil. Sebanyak 194 aktiviti telah dianjurkan dengan kos berjumlah RM332 ribu. Tahun 2021 juga adalah tahun mencabar buat Negeri Selangor. Semasa kita sedang merancang kebangkitan semula ekonomi dan kehidupan, Selangor diuji dengan banjir besar yang memberi kesan kepada hampir sejuta penduduk. Team Selangor selaku inisiatif yang menaikkan nilai kesukarelawanan telah menggerakkan sukarelawan dengan 124 aktiviti misi bantuan banjir di seluruh Selangor dengan nilai perbelanjaan mendekati angka keseluruhan berjumlah RM1 juta. Turut sama, sukarelawan Team Selangor juga berpartisipasi aktif di dalam membantu melaksanakan inisiatif saringan dan imunisasi percuma dengan berbakti di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PICK, PPV negeri dan saringan percuma dengan jumlah belanja yang menelan kos RM2.1 juta. Kesemua penyertaan menghasilkan 870 aktiviti dengan purata perbelanjaan bernilai RM3,000.

Lampiran

Tiada Lampiran.