Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

27) TAULIAH MENGAJAR AGAMA ISLAM KEPADA AKTIVIS ORGANISASI POLITIK

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah benar individu berstatus ahli politik tidak akan diberikan tauliah mengajar agama Islam di Selangor?

    Ya. Individu berstatus ahli politik yang memohon tauliah mengajar tidak akan diberikan Tauliah Mengajar Agama Islam di Negeri Selangor. Jawatankuasa Tauliah MAIS pada 6 April 2021 telah memutuskan bahawa, mana-mana ahli politik yang mempunyai Tauliah Mengajar dan masih berkuatkuasa, adalah dikekalkan sehingga tamat tempoh sah tauliah dengan syarat individu berstatus ahli politik menyampaikan ceramah tanpa menyentuh isi-isu politik kepartian, mengaitkan individu tertentu, menyebar fitnah serta dapat menjaga akhlak dan terus menjaga kemuliaan masjid/ surau sebagai pusat ilmu dan pusat dakwah setempat. Perkara ini telah diperkenan oleh Ahli Dewan di Raja Selangor dalam sidang Mesyuarat Dewan di Raja Selangor Yang Ke – 151 pada 4 Mac 2019.

  2. Apakah definisi ahli politik mengikut takrifan yang digunapakai dalam pentauliahan?

    Buat masa ini, tafsiran yang digunakan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS, ahli politik adalah mereka yang jelas menganggotai mana-mana parti politik.  Satu cadangan pindaan juga telah dicadangkan kepada MAIS bagi memberi tafsiran ahli politik di dalam Peraturan Tauliah yang diwujudkan.

  3. Berapakah jumlah ahli politik yang pernah atau masih memegang tauliah mengajar agama Islam di Selangor?

    Jumlah Ahli Politik yang masih memegang Tauliah Mengajar Agama Islam di Negeri Selangor adalah seramai 31 orang.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.