Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
176) TASKA DI RUMAH
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan isu taska di rumah yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat?
Bagi menyelesaikan isu taska di rumah yang tidak berdaftar, Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan dua (2) siri sesi libat urus pada 6 Mac 2023 dan 2 Mei 2023 bersama Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba & Penyelamat Negeri Selangor, Persatuan Taska Negeri Selangor dan wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam bidang pengasuhan dan penjagaan kanak-kanak untuk membincangkan isu dan cara penyelesaian yang wajar diambil di peringkat Kerajaan Negeri. Hasil perbincangan telah dibawa ke peringkat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kerajaan Negeri (KPWKM) menerusi dua (2) siri pertemuan bersama Yang Berhormat Timbalan Menteri dan Agensi Persekutuan yang berkenaan.
Hasil pertemuan dan perbincangan tersebut, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memulakan program rintis di Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan bagi menggerakkan usaha penyeragaman Undang-Undang Kecil yang berkuat kuasa berkaitan operasi taska di rumah. Hal ini bertujuan untuk memudahkan urusan permohonan dan menggalakkan pendaftaran para pengusaha taska di rumah.
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan pengasuh sebagai pekerja profesional dan berkemahiran tinggi?
Bagi mengiktiraf peranan pengasuh di rumah, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program Kursus Intensif Perkembangan Kanak – Kanak (KIPK) iaitu kursus asas bidang pengasuhan dan penjagaan kanak-kanak. Matlamat yang ingin dicapai melalui kursus ini ialah untuk melahirkan lebih ramai pengasuh yang berilmu serta menambah nilai pengetahuan dan kemahiran para peserta dalam bidang pengasuhan. Selain itu, program ini juga boleh menjadi platform awal untuk peserta menceburkan diri dalam bidang pengasuhan serta dapat memberikan peluang untuk menambah pendapatan keluarga dengan menawarkan perkhidmatan pengasuhan di kawasan masing-masing.
Sejak dilaksanakan pada tahun 2018, sebanyak tiga siri kursus KIPK telah diadakan dan lebih 600 orang pengasuh di rumah telah menerima manfaat daripada program ini. Kerajaan Negeri Selangor juga telah meluluskan pemberian insentif tambahan berupa geran bernilai RM 2,000.00 kepada peserta yang layak dan menerima markah tertinggi sepanjang kursus diadakan. Geran tersebut akan digunakan untuk membeli barang keperluan berkaitan pengasuhan antaranya pembaikan tandas, pagar bayi, buku bantuan pengajaran, alatan permainan dan sebagainya. Penganjuran kursus KIPK dan pemberian insentif ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong ekosistem penjagaan iaitu dengan mengiktiraf penjaga menerusi pemberdayaan dan sokongan serta melindungi yang dijaga menerusi penyediaan perkhidmatan yang selamat dan berkualiti.